Oleh: Fatin Hidayah Yunus
Tanjong Malim– Childsafe & Healthcare Programme merupakan satu-satunya program yang julung kalinya diadakan oleh pelajar Diploma bawah anjuran kursus KAT1023 Pendidikan Kesihatan dan Keselamatan untuk Awal Kanak-kanak, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Melalui kerjasama Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan juga Pasukan Belia Bulan Sabit Merah (PBBSM) Perak, terdapat dua aktiviti utama yang dijalankan pada minggu keenam kuliah ini sebagai penilaian tugasan pelajar dalam menguasai dengan baik kursus yang perlu diambil pada tahun pertama pengajian ini. Program ini berlangsung dua hari bertempat di blok FPM, UPSI dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada kanak-kanak mahupun mahasiswa UPSI.
Antara objektif utama program ini adalah memberi pendedahan kepada pelajar kursus KAT1023 tentang kesihatan, keselamatan dan pemakanan nutrisi dalam awal kanak-kanak di samping memberi peluang dan ruang kepada mereka dalam menyerlahkan kreativiti serta meningkatkan kemahiran dalam pembelajaran yang berkonsepkan praktikal.
Seramai 71 orang pelajar Kursus KAT1023 telah melibatkan diri secara langsung dalam program yang dianjurkan. Aktiviti pertama iaitu pameran booth keselamatan dan kesihatan awal kanak-kanak dengan pelbagai topik seperti teknik mengendalikan pertolongan cemas, keselamatan jalan raya, keselamatan personel, keselamatan di taman permainan, keselamatan di rumah, manakala topik kesihatan pula seperti penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak, vaksin dan imunisasi, kesihatan mental dan fizikal serta banyak lagi. Kepelbagaian penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang disediakan sendiri oleh pelajar kursus membolehkan mereka melaksanakan aktiviti tersebut bersama kanak-kanak 5 tahun daipada National Child Development Research Centre (NCDRC), UPSI. Keseronokan kanak-kanak melakukan aktiviti kesihatan dan keselamatan dapat memberi pengalaman sebenar kepada pelajar mengendalikan aktiviti bersama kanak-kanak meningkatkan kemahiran mereka dari aspek pedagogi dan pendekatan yang sesuai dalam pembelajaran awal kanak-kanak.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FPM, Ketua Jabatan, penasihat persatuan Diploma PAKK dan pensyarah kursus KAT1023 dalam memeriahkan lagi program ini. Menurut Ketua Jabatan PAKK Dr. Seah Siok Peh, beliau amat mengharapkan dengan pengalaman dan pengetahuan yang didapati oleh para pelajar sepanjang pemelajaran kursus kesihatan dan keselamatan ini dapat digunakan dalam kehidupan mereka terutamanya apabila berada di alam pekerjaan atau mempunyai kehidupan berkeluarga nanti. Seharusnya, aspek kesihatan dan keselamatan awal kanak-kanak sangat penting untuk dititikberatkan oleh semua golongan masyarakat terutama ibu bapa yang prihatin akan setiap keperluan anak-anaknya, ujarnya lagi.
Pada masa sama, penyelaras kursus, Norrulkamari Daud rasa berbesar hati dengan perlaksanaan program ini yang mana setiap pelajar memberikan sepenuh komitment mereka dalam menyediakan aktiviti yang menyeronokkan kepada peserta program serta mendapat sambutan yang sangat baik daripada semua. Dr. Intan Farahana Abdul Rani, pensyarah bersama bagi kursus KAT1023 mendorong pelajar agar lebih bijak mengambil peluang yang ada dalam mendalami ilmu pembelajaran kesihatan dan keselamatan awal kanak-kanak daripada apa yang telah dilaksanakan sepanjang program Childsafe & Healthcare ini.
Selain itu, aktiviti seterusnya dilaksanakan dalam program ini iaitu Food Plating yang juga merupakan tugasan pelajar dalam mencapai hasil pembelajaran kursus dengan penyediaan menu pemakanan yang seimbang dan sihat dalam awal kanak-kanak mengikut pelbagai peringkat umur. Setiap kumpulan pelajar perlu mempersembahkan menu masing-masing secara praktikal dengan menekankan elemen sihat dalam merancang menu seimbang kepada kanak-kanak. Pensyarah kursus menilai hasil tangan pelajar dengan merasa dan memberi komen terhadap setiap menu yang disediakan dan juga memberi peluang kepada para pelajar untuk merasa makanan sihat kanak-kanak seperti puri buah, puri sayur, makanan berat, salad, pencuci mulut dan snek.