Oleh: Andy Wellington dan Nurul Najwa Mohamad
Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa (MMK) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sidang 2023/20224 telah menganjurkan program Sketchscape ‘Mastering Your Fine Arts’ dengan kerjasama Persatuan Seni Visual (PERSENI) bertempat di Dewan Harun Aminurrashid pada 2 Jun lalu.
Program ini turut dihadiri 100 peserta bertujuan memperkenalkan elemen kesenian dalam bentuk teknik lukisan yang terdapat di Malaysia kepada seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta berfungsi sebagai satu platform bagi mempamerkan seni lukisan dan mendedahkan seni lukisan sebagai satu terapi bagi mahasiswa.
Bengkel ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai bengkel teknik lukisan kontur yang dikongsikan oleh Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Dr. Elis Syuhaila Mokhtar. Dr. Elis telah berkongsikan beberapa teknik lukisan kontur seperti Cross drawing dan Cross hatching. Menerusi program ini peserta dapat menimba ilmu dan pengalaman baru mengenai teknik kontur lukisan.
Pengarah Program Sketchcape, Saudara Nik Shahruddin Mat Jusoh program ini dilaksanakan bagi tujuan memberi pendedahan dan penghayatan kepada peserta mengenai keindahan seni lukisan yang kurang didedahkan dalam kalangan mahasiswa serta meningkatkan kreativiti mereka seiring dengan perkembangan semasa.
Menurut Ketua Felo, Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin yang juga selaku perasmi program berkata, “Program sebegini harus diteruskan dengan memberi pendedahan kepada peserta terutamanya yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang lukisan untuk turut bersama-sama mempelajari ilmu teknik lukisan kontur. Saya juga turut berterima kasih kepada semua AJK pelaksana, pihak kolaborasi, dan panel penceramah atas kerjasama dan usaha dalam menjayakan program ini.”
Pengetua KHAR, Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah ketika ditemui berkata, beliau berharap agar program seperti ini dapat memberikan ruang kepada peserta untuk memperhalusi kemahiran lukisan dalam mempamerkan karya dan seni mereka. Beliau juga menegaskan bahawa pelaksanaan program ini mampu memberikan penghayatan terhadap keindahan seni halus yang kurang didedahkan dalam kalangan mahasiswa, serta menyediakan platform bagi mempamerkan seni lukisan yang dapat berfungsi sebagai terapi bagi mahasiswa.
Diharapkan melalui program ini para peserta dapat mengambil peluang untuk menimba ilmu yang banyak, sekaligus memupuk semangat kesenian dan kebudayaan dalam kalangan mahasiswa. Ini akan membantu menanamkan cinta terhadap seni dan budaya dalam generasi sekarang dan akan datang.