Oleh: Nurul Hakimah Che Abdullah & Hanis Umayrah Jamaluddin

Tanjong Malim, 23 Jun 2024- Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program ‘Aplikasi Mendeley dalam Penulisan Akademik’. Program yang dikendalikan oleh  Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa serta pelajar pasca siswazah mengenai penggunaan aplikasi Mendeley dalam penulisan akademik.

Mendeley adalah software rujukan yang boleh membantu mendapatkan rujukan secara dalam talian. Mendeley boleh digunakan melalui platform Microsoft Windows, Apple MacOS ataupun Linux. Aplikasi ini memudahkan mahasiswa dalam membuat daftar pustaka secara automatik untuk digunakan dalam penulisan.

Program ini dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek teknikal penggunaan Mendeley, tetapi menyelaras objektif dengan matlamat yang lebih luas. Ia memberi fokus kepada elemen yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals-SDG), khususnya SDG 4 yang menekankan Pendidikan Berkualiti (Quality Education). Penekanan ini menunjukkan komitmen PERGEO dalam menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan jumlah penyertaan seramai 50 orang daripada mahasiswa UPSI khususnya aktivis daripada Persatuan Geografi.

Penganjuran program sebegini mencerminkan usaha berterusan aktivis PERGEO, khususnya melalui Exco Akademik dan Kerjaya, untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para pelajar dalam aspek penulisan akademik. Penggunaan Mendeley, sebuah perisian pengurusan rujukan dan rangkaian sosial akademik dapat membantu pelajar mengurus sumber rujukan mereka dengan lebih efisien, seterusnya meningkatkan kualiti penulisan akademik mereka. Mendeley bukan sekadar alat untuk menguruskan rujukan, tetapi ia juga membantu dalam pengorganisasian idea, penyusunan maklumat, dan penstrukturan penulisan yang berguna terutamanya dalam penulisan tesis yang memerlukan pengurusan sumber rujukan yang ekstensif dan sistematik. Oleh itu, program yang bersifat akademik seperti perkongsian ilmu tentang penggunaan Mendeley mampu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang dalam penulisan. Ia bukan sahaja membantu dalam aspek teknikal penulisan akademik, tetapi juga memupuk budaya penyelidikan yang sistematik dan berintegriti.

Program ini menjemput Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah Gs. Dr. Lindah Rozaini Jamru untuk berkongsi ilmu tentang aplikasi Mendeley. Program ini turut dihadiri oleh Yang DiPertua PERGEO, Bushra Assyakira Baharil Anuar dan dipimpin oleh Pengarah Program, Nurul Hakimah Che Abdullah dan Timbalan Pengarah Program, Edna Sharminei Anak Dodoi daripada Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO sidang 2023/2024.

Program yang dijalankan secara dalam talian ini memudahkan komunikasi jarak jauh daripada penceramah dan mahasiswa UPSI dalam perkongsian ilmu terutama sekali dalam penulisan tesis atau projek tahun akhir. Sememangnya dalam penulisan memerlukan rujukan daripada artikel atau sumber yang lain beserta format yang betul dan tidak boleh wujud sebarang kesilapan. Oleh itu, Exco Akademik dan Kerjaya mengambil peluang ini untuk memastikan mahasiswa UPSI menulis dengan format yang betul.

Menurut Gs. Dr. Lindah Rozaini menyatakan bahawa program ini sangat membantu buat semua mahasiswa kerana mereka mengetahui betapa pentingya penggunaan aplikasi Mendeley ini dalam penulisan. Ini sejajar dengan Amalan Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti yang bertujuan untuk memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Beliau juga berharap bahawa ilmu dan perkongsian yang disampaikan memberi makna dan dapat membantu mahasiswa dalam penulisan. Acara ini adalah teras utama antara kita semua kerana pendidikan yang berkualiti itu penting dalam keberhasilan pelajar yang cemerlang dan seimbang. Beliau mengakhiri dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan acara ini termasuk Penaja, AJK, dan PERGEO kerana sudi menjemputnya dalam perkongsian yang sangat bermakna pada kali ini.

Pengisian program dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi pertama dimulakan oleh pengacara majlis dengan memperkenalkan penceramah jemputan. Pada sesi kedua pula, perkongsian tentang aplikasi Mendeley dimulakan dan berlangsung selama hampir 2 jam. Sesi ketiga diakhiri dengan sesi fotografi bersama penceramah jemputan, pengarah program, ajk pelaksana dan  peserta program.

AJK Pelaksana Program Aplikasi Mendeley dalam Penulisan Akademik

Keseluruhan Program Aplikasi Mendeley dalam Penulisan Akademik ini berjalan dengan baik dan tersusun serta memberi impak positif kepada semua peserta dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan dengan anjuran program pada kali ini, menjadi dorongan dan perangsang kepada mahasiswa UPSI yang lain.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)