Pada 20 Jun 2024, Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI), Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan kerjasama bersama sekolah antarabangsa Shengli-New Zealand School di  Wilayah Shandong (Province), China.

Tujuan kerjasama ini adalah untuk meletakkan CPRI sebagai pusat rujukan pedagogi bertaraf dunia. Kerjasama CPRI dengan sekolah Shengli-New Zealand adalah dalam bidang latihan pedagogi kepada guru-guru, penyediaan kurikulum dan menjadikan UPSI sebagai destinasi kepada pelajar-pelajar antarabangsa.

Shengli-New Zealand School merupakan sekolah antarabangsa yang pertama ditubuhkan di Wilayah Shandong pada tahun 2003 dengan jumlah pelajar 560 orang. Sekolah Shengli-New Zealand merupakan sekolah menengah yang menawarkan pendidikan berasrama dan harian, menyasarkan keperibadian pelajar berintegriti, kesihatan mental, dan menggalakkan pelajar  menghormati diri, disiplin, yakin dan berdikari.

Saiz kelas kecil di bawah 36 pelajar membolehkan pedagogi personal mengikut setiap perbezaan individu pelajar, dan setiap murid boleh dihargai.

Dari segi pedagogi, berprinsipkan seorang guru tidak boleh memberi inspirasi tanpa semangat, kerana semangat guru membakar semangat pelajar.

Gabungan konsep timur dan barat diterapkan dalam pengajaran supaya pelajar mendapat manfaat daripada kaedah pendidikan di peringkat universiti di luar negara.

Lawatan ini melibatkan 6 orang kakitangan UPSI yang terdiri daripada Pengarah CPRI Profesor Dr. Nordin Mamat, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, Ketua Jabatan Pendidikan Khas, FPM UPSI  Dr Kway Eng Hock bersama En Muzamil Mahil, Penolong Pendaftar Kanan FPM, Pn Zuraidah Maliki, Penolong Pendaftar dan Pn Anizan Abdul Latif Timbalan Pendaftar Institut Pengajian Siswazah UPSI.

Hasil daripada perbincangan dengan pengurusan Sekolah Shengli-New Zealand dalam bidang pedagogi dengan memberikan latihan pedagogi kepada guru-guru. Pada masa yang sama menyediakan Program Summer Camp kepada pelajar-pelajar di UPSI bertujuan memberikan pendedahan dan mempromosikan UPSI kepada pelajar-pelajar untuk pengajian ke UPSI. Secara tidak langsung meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa.