Penulis: Naziroh Romli & Noor Sharizad Rohaizad
Tanjong Malim – seramai 24 orang kanak-kanak dari Tadika Bitara, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) telah menyertai pertandingan mewarna anjuran Pusat Kesihatan Universiti sempena Karnival Kesihatan 1.0 Hari Bertemu Pelanggan 2024.
Karnival Kesihatan 1.0 bertempat di Tapak Foodtruck, Dewan Sri Tanjung, Padang Utama KSAJS. Melalui penganjuran aktiviti ini, kanak-kanak dapat berfikir secara kreatif dan berimaginasi semasa melakukan aktiviti mewarna seperti mencampur pelbagai warna asas untuk menghasilkan warna sekunder dan menghasilkan objek baru dalam lukisan.
Menurut Timbalan Pengarah NCDRC , Dr Masayu Dzainudin, aktiviti mewarna salah satu medium terapi melalui luahan emosi tentang apa yang dirasai oleh kanak-kanak ketika mereka mewarna.
‘Pertandingan mewarna yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan Universiti dapat mengeratkan hubungan antara kanak-kanak, pendidik dan staf pusat kesihatan yang terlibat’ katanya lagi.
Selain pertandingan mewarna, terdapat pelbagai pengisian program yang lain seperti sukan padang, RC Challenge, Inbody Test+konsultasi, saringan kesihatan mental, saringan kesihatan warga sihat, booth Hari Bertemu Pelanggan serta jualan gerai dan foodtruck.
Program yang dianjurkan ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara NCDRC serta kesemua kakitangan upsi yang turut sama terlibat bagi menjayakan aktiviti ini.