Oleh: Dr. Erni Marlina Saari

Tanjong Malim – Permainan dapat meningkatkan terapi minda melalui interaksi sosial disamping dapat meningkatkan kreativiti mahasiswa. Oleh itu, Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital (JSKTD) dibawah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif mengadakan lawatan sambil belajar ke ESCAPE Penang pada 3 Mei 2024.

Lawatan ini diketuai oleh penasihat program, Dr. Norshahila Ibrahim dan disertai oleh seramai 47 mahasiswa semester 4 dibawah kursus DMM3013 Rekabentuk dan Pembangunan Permainan. Dr. Norshahila berkata, lawatan ini merupakan satu inisiatif dalam meningkatkan kreativiti mahasiswa dalam membangunkan perisian permainan dalam bentuk tradisional mahupun digital. Tambahnya lagi, mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan membentuk kemahiran bersosial melalui bekerja dalam pasukan.

“Lawatan ini merupakan salah satu kandungan dalam silibus kursus DMM3013 Rekabentuk dan Pembangunan Permainan dan diakhir lawatan ini pelajar perlu menyiapkan tugasan yang diberikan.”

Mahasiswa dibahagi kepada enam pasukan terdiri daripada tujuh hingga lapan orang dalam satu pasukan. Kad cabaran bermain pasukan diberi oleh fasilitator dan mereka perlu menyelesaikan cabaran yang diberi dalam masa yang ditetapkan. Antara cabaran yang perlu diselesaikan adalah Jumping Jack, Monkey Business, Slingshot, Tuber Racer dan Zip Coaster. Kumpulan yang berjaya mengumpul mata paling tinggi diumum sebagai pemenang.

Salah seorang mahasiswa, Aina Farisya Norazizi berpendapat lawatan ini dapat mencabar diri sendiri dengan melakukan aktiviti yang ekstrem dan dapat memberi idea kepada tugasan yang diberi oleh pensyarah.

“Kami dapat merasai pengalaman bermain pelbagai aktiviti permainan yang sukar dan bekerja dalam satu pasukan untuk menyelesaikan cabaran yang diberi. Kami juga dapat menenangkan fikiran daripada kesibukan tugasan sebagai mahasiswa di Universiti”

Lawatan sebegini dapat meningkatkan kreativiti mahasiswa melalui aktiviti permainan ekstrem disamping dapat memberi ruang kepada mahasiswa untuk menenangkan fikiran daripada kesibukan rutin harian sebagai mahasiswa di Universiti.