Oleh: Dr. Norshahila Ibrahim

Tanjong Malim, 24 Jun: Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan hormat dari delegasi Universitas Pendidikan Ganesha, Bali Indonesia. Lawatan ini adalah merupakan satu inisiatif dalam membangunkan kolaborasi berkaitan kepakaran pendidikan, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam teknologi yang akan memberikan banyak menafaat antara kedua-dua belah pihak dan universiti.

Delegasi ini diketuai oleh Dr. Dessy Seri Wahyuni dan diiringi oleh dua orang wakil pensyarah iaitu Ketut Andika Pradnyana dan Dr. Gede Ariadi.

Delegasi disambut baik oleh Pengarah Pusat Latihan Mengajar (PULAMI), Profesor Madya Dr. Ashardi Abbas bersama dengan Dekan FKMT, Prof. Madya. Dr. Ing. Maizatul Hayati Mohd. Yatim, Penyelaras Program Mobiliti Fakulti FKMT, Dr. Erni Marlina Saari dan pensyarah-pensyarah yang lain. Menurut Dekan FKMT,  kerjasama sebegini diharapkan dapat memberi peluang kerjasama yang tinggi terutama selepas penubuhan FKMT yang memasuki tahun kedua. Kedua-dua pihak membuat perbincangan sebagai rakan strategik di mana kerjasama ini bakal memberi impak besar kepada perkongsian kepakaran pendidikan, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam teknologi yang akan memberi banyak menafaat antara kedua-dua pihak.

Mereka juga melihat fasiliti FKMT yang terdapat di sekitar kampus termasuk bangunan kolej pelajar antarabangsa di  sekitar kampus Sultan Azlan Shah. Lokasi kampus dan kemudahan yang disediakan oleh UPSI kepada pelajar antarabangsa menarik perhatian mereka sepanjang berada di UPSI.

Dalam lawatan ini, Universitas Ganesha dan FKMT memulakan kerjasama dalam program-program pendidikan secara atas talian bermula Julai ini. Contohnya pelaksanaan program mobiliti kursus berkredit berteraskan teknologi pendidikan. Selain itu, latihan industri juga menjadi satu program yang mendapat perhatian dari pihak pengurusan FKMT kerana latihan industri di luar negara dapat memberi impak yang besar kepada penjanaan sesebuah fakulti dan universiti khasnya.

Delegasi dari Indonesia juga tidak ketinggalan menyertai jamuan hari raya anjuran UPSI pada hari tersebut. Selain dari juadah yang menarik, mereka juga dapat melihat adat dan budaya masyarakat Malaysia  di bumi Muallim. Kemeriahan majlis ini sekali gus menarik perhatian mereka sepanjang keberadaan mereka di universiti pendidikan ini.

Kerjasama ini diteruskan untuk melaksanakan kerjasama mengadakan Persidangan Antarabangsa, pembangunan dual program dan profesor pelawat dalam masa terdekat. Lawatan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kemampuan pendidikan dan meningkatkan kualiti lulusan siswazah di kedua-dua universiti.

Lawatan universitas Pendidikan Ganesha menandakan langkah strategik dalam meningkatkan kerjasama antara dua universiti yang berada di Malaysia dan Indonesia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)