Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Siti Fatimah Mohamed
Tanjung Malim, 2 Julai 2024 – Telah berlangsungnya Program Jalinan Pendidikan Serumpun bersama Universitas Mataram pada 9.00 pagi tadi. Program ini dihadiri oleh 100 orang delegasi dari Indonesia, terdiri daripada 96 pelajar pascasiswazah dan 4 orang pengiring dari Universitas Mataram. Delegasi ini diketuai oleh Drs. H. Lalu Zulkifli, Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, bersama tiga pengiring: Dr. Sudirman Usman, Pengelola Program Studi Magister Administrasi Pendidikan; Dr. Asrin, Pengelola Magister Pendidikan Dasar; dan Puan Sri Subarinah, Sekretaris Pengelola Magister Pendidikan Dasar. Turut hadir bersama adalah Dr. Salam Alfirisi, pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan yang juga merupakan penyelaras bagi program ini.
Kehadiran delegasi dari Universitas Mataram disambut baik oleh warga Sekolah Rendah Seri Budiman. Program dimulakan dengan ucapan aluan dari Dr. Kama Shaffeei, Chief of Education Sekolah Rendah Seri Budiman. Beliau turut menyampaikan taklimat tentang sekolah tersebut. Selesai sesi taklimat, para peserta diberi peluang untuk bertanyakan soalan dan berkongsi pendapat mengenai sistem pendidikan di Indonesia dan Malaysia. Mereka begitu teruja menanyakan soalan dan berkongsi pengalaman sepanjang taklimat tersebut. Para peserta menyatakan hasrat untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh hari ini ke dalam sistem pendidikan di negara mereka, kerana mereka juga merancang untuk membuka sekolah seperti Sekolah Rendah Seri Budiman di sana.
Selesai sesi soal jawab, program diteruskan dengan sesi minum pagi yang dibantu oleh para ibu bapa murid Sekolah Rendah Seri Budiman yang turut hadir bagi menjayakan program ini. Selepas minum pagi, taklimat mengenai hal ehwal akademik disampaikan oleh Encik Mohammad Azrin bin Mat Rais, Pembantu Tadbir Bahagian Hal Ehwal Akademik. Sesi ini juga dipenuhi dengan perkongsian pendapat dan soalan-soalan dari peserta. Akhir sekali, majlis bersurai dan delegasi ini meneruskan lawatan mereka untuk melihat bangunan Bahagian Hal Ehwal Akademik.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami tujukan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini. Pertama sekali, terima kasih kepada delegasi dari Universitas Mataram yang sudi hadir dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Sekolah Rendah Seri Budiman, khususnya Dr. Kama Shaffeei yang telah memberikan ucapan aluan dan taklimat yang sangat informatif. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada para ibu bapa murid Sekolah Rendah Seri Budiman yang turut hadir dan memberikan sokongan penuh sepanjang program berlangsung. Kehadiran dan bantuan mereka sangat bermakna dan telah menyumbang kepada kelancaran serta kejayaan program ini. Kami berharap program ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang pendidikan. Melalui program ini, kami percaya peluang untuk kerjasama yang lebih erat dan bermanfaat akan semakin terbuka di masa hadapan. Program seperti ini bukan sahaja dapat mengukuhkan jalinan persahabatan antara pelajar dan pendidik dari kedua-dua negara, tetapi juga membolehkan kita berkongsi amalan terbaik dalam pendidikan yang dapat memberi inspirasi untuk penambahbaikan sistem pendidikan di negara masing-masing. Semoga usaha kita bersama ini dapat membawa manfaat yang besar kepada dunia pendidikan di kedua-dua negara. Kami berharap segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh melalui program ini dapat diaplikasikan dengan baik dan membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan kita. Mari kita terus bekerjasama