Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim – Seramai 2,075 kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Majlis Peluncuran UPSI ke Arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya Peringkat UPSI dan Hari Keluarga UPSI bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024.

Sambutan yang berlangsung pada 3 Julai 2024 itu dianjurkan oleh Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan Kerjasama Bahagian Pengurusan Risiko Dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Pusat Sukan UPSI dan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) di Arena, Kampus Sultan Azlan Shah. UPSI.

Majlis Peluncuran UPSI ke Arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya Peringkat UPSI dan Hari Keluarga UPSI bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024 ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razali; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohamed; Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (ROSH), Prof Dr. Haniza Hanim Mohd Zain serta Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Ts Dr. Nor Kalsum Mohd Isa.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff menyifatkan perhimpunan bulanan pada kali ini amat istimewa kerana mengadakan Majlis Peluncuran UPSI ke Arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya UPSI disamping menyambut Hari Keluarga UPSI serta Majlis Perasmian Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 yang diadakan bersama-sama dalam Perhimpunan Bulanan pada kali ini.

“Hari ini menyaksikan betapa ukhwah yang terbentuk yang begitu lama kita raikan. Dapat kita perhatikan dalam kontinjen tanpa mengira pangkat atau gred. semuanya hadir memberikan sokongan kepada rumah sukan/kontinjen masing-masing.” Katanya.

“Perkara sebeginilah yang diinginkan di universiti tercinta ini iaitu tanpa darjat, tanpa pangkat kita sebagai warna univerisiti mampu bersatu sebagai sebuah keluarga serta bersatu sebagai insan yang menyayangi akan institusinya.

Sehubungan itu, katanya, subur marakkanlah budaya ini agar warga universiti ini terus bersatu” katanya lagi.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak JPPHP dan Jabatan Bendahari kerana buat julung kalinya dapat menggunakan dewan solar yang pertama di Malaysia.

Beliau berkata penubuhan dewan solar tersebut bertujuan menyahut seruan kampus rendah karbon atau kampus hijau.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Ts Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) pada hari ini turut meluncurkan Komitmen Rendah Karbon Kampus yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon UPSI sehingga 45% pada tahun 2030 sejajar dengan sasaran yang digariskan dalam Polisi SDG UPSI.

“FSK telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program di UPSI yang berteraskan kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini adalah sejajar dengan Hasrat UPSI sebagai universiti yang bitara, cemerlang dalam kepimpinan Pendidikan serta meneraju perubahan global termasuk dalam aspek kelestarian alam sekitar”, katanya.

Perhimpunan bulanan pada kali ini juga menyaksikan majlis Peluncuran Revolusi Keselamatan Jalan Raya di kampus oleh pihak ROSH yang bertujuan menerapkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya kepada kepada kakitangan dan pelajar UPSI.

Selain itu, perhimpunan bulanan pada kali ini menyaksikan pembukaan Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Sukan yang akan berlangsung selama dua minggu.

KIESTA merupakan acara sukan tahunan staff bagi mencungkil bakat disamping merapatkan ukhwah dalam kalangan staf UPSI.

Pada edisi kali ini, kontinjen Rahman Talib dinobatkan sebagai johan Perbarisan Terbaik di samping kontinjen Ahmad Bakhtiar dinobatkan sebagai naib juara, manakala Kontinjen Za’ba mendapat tempat ketiga dalam acara perbarisan.

Program kali ini juga diserikan dengan sambutan Hari Keluarga UPSI 2024 anjuran Integrasi Teras Universiti (JITU) bertujuan merapatkan hubungan antara semua kakitangan UPSI.

Pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya pameran daripada pelbagai Agensi Kerajaan, Industri Pemotoran dan Syarikat Kereta Terkemuka. Tambahan pula, sebanyak 1 tan buah durian disediakan sekaligus menjadi tarikan utama Hari Keluarga UPSI 2024.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)