Tanjong Malim, 30 Jun 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Pengenalan Asas Bahasa Isyarat, Bilik Seminar Pusat Pelajar, Aras 1, UPSI dan Facebook live Tanjong Malim. Program ini merupakan suatu perkongsian ilmu berkaitan dengan Pengenalan asas bahasa isyarat secara bersemuka dan atas talian yang turut melibatkan mahasiswa dan komuniti luar.
Terdapat beberapa kolaborasi daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hassanuddin Banten (UIN SMH), Indonesia. Program Pengenalan Asas Bahasa Isyarat merupakan program yang memberi kesedaran tentang kepentingan mempunyai pengetahuan berkenaan dengan bahasa isyarat disamping menyantuni anak-anak istimewa ini yang terdiri daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi masalah pendengaran agar mereka tidak merasa terpinggir dalam kalangan masyarakat.
Melalui ucapan daripada Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2023/2024, Amirul Haiqal Amiruddin Baki, turut berkongsi pengalamannya sendiri menjadi seorang OKU yang bermasalah penglihatan dan fizikal. Perkara tersebut menyebabkan beliau berasa lebih memahami kehidupan sebagai seorang OKU yang sebenarnya bukanlah mudah jika tanpa adanya sokongan dan dorongan. Beliau juga amat menggalakkan agar program-program yang berkaitan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ini terus diambil peduli dan disokong sebagai tanda keprihatinan dan ambil tahu dalam hidup bermasyarakat.
Program Pengenalan Asas Bahasa Isyarat ini dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Dr. Kway Eng Hock yang begitu terharu terhadap anjuran program yang dilaksanakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2023/2024, UPSI. Menurut Dr. Kway dengan adanya perkongsian ilmu bahasa isyarat ini mampu mengubah stigma negatif dan pola pemikiran masyarakat kepada individu yang bermasalah pendengaran selaras dengan tema Sambutan Hari Pendengaran Sedunia pada tahun ini ‘Changing Mindset: Let’s make ear and hearing care a reality for all’.
Perkongsian ilmu berkaitan Pengenalan Asas Bahasa Isyarat ini dikongsikan oleh pensyarah Jabatan Pendidikan Khas, UPSI Dr. Syamsinar Abdul Jabar kepada mahasiswa UPSI secara bersemuka dan turut disertai mahasiswa daripada beberapa universiti dan komuniti luar secara atas talian.
Jelaslah bahawa program ini bukan sahaja memberi pengetahuan sebaliknya memberi kesedaran dan pengalaman kepada mahasiswa akan kehidupan sebagai seorang OKU bagi masalah pendengaran. Majlis Perwakilan Pelajar sidang 2023/2024, UPSI berhasrat agar kebajikan dan kemudahan-kemudahan golongan ini terus diambil peduli sebagai satu inisiatif untuk membela nasib golongan OKU. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi agar mampu memberi manfaat dan impak yang positif dalam kalangan masyarakat.