Oleh: Nini Syuryani Zainudin

Kuala Lumpur, 30 Jun 2024: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijemput untuk menyertai satu program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang dinamakan ‘Tomorrow Leader Peringkat Kebangsaan 2024’ dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK). Program ini adalah inisiatif untuk membentuk dan melatih pemimpin masa depan dengan penekanan khusus terhadap kesedaran dan pencegahan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pegawai dari AADK Daerah Batang Padang, Haszihan Mohd Adi Munir ditugaskan sebagai Pegawai pengiring bagi delegasi UPSI. Haszihan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kebajikan peserta sepanjang program berlangsung serta memberikan sokongan yang diperlukan.

Program ‘Tomorrow Leader Peringkat Kebangsaan 2024’ dan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK) ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah serta langkah-langkah pencegahan. Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta didedahkan dengan teknik kepimpinan yang efektif, kemahiran komunikasi, dan strategi membina kesedaran dalam komuniti masing-masing.

Kehadiran wakil-wakil UPSI dalam program ini bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka untuk menimba ilmu dan pengalaman berharga tetapi juga membolehkan mereka menjadi duta kecil yang mampu menyebarkan maklumat dan kesedaran mengenai pencegahan dadah di kalangan pelajar UPSI dan masyarakat setempat. Program ini juga memberi ruang kepada para peserta untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan peserta dari universiti dan kolej lain, membina jaringan kerjasama yang kukuh dalam usaha memerangi masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Penyertaan MPP UPSI dalam program anjuran AADK ini merupakan satu langkah positif dan proaktif dalam usaha membentuk pemimpin masa depan yang berwibawa dan berintegriti. Melalui program ini, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru, tetapi juga diberi tanggungjawab untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui usaha pencegahan dadah.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)