Gimik peluncuran dengan melepaskan 1000 unit belon hijau dan biru

Oleh: Nurul Aini Mehat

TANJONG MALIM, 3 Julai 2024: Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dengan kerjasama daripada Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Jaringan Integrasi Teras Universiti (JITU) dan Pusat Sukan telah menerajui Perhimpunan Bulanan Edisi Julai, 2024 dengan melibatkan semua PTJ harini. Perhimpunan ini sememangnya telah menjadi acara bulanan di UPSI bagi mengeratkan lagi silaturahim dan hubungan baik sesama warga UPSI.

Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dengan merasmikan Majlis Peluncuran UPSI ke arah Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya, Hari Keluarga UPSI dan Karnival Sukan Staf (KIESTA) UPSI sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2024 di Stadium UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, hari ini.

“Perhimpunan bulanan pada kali ini amat istimewa dengan pelbagai program diadakan dalam satu majlis, antaranya Majlis Peluncuran UPSI ke arah Kampus Rendah Karbon dan Revolusi Keselamatan Jalanraya UPSI, Hari keluarga UPSI serta Majlis Perasmian Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024,” Katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama seluruh warga UPSI.

UPSI menyambut baik inisiatif dalam merencanakan Pelan Tindakan Universiti ke arah aplikasi teknologi hijau dan melaksanakan program-program berkonsepkan kelestarian alam sekitar di dalam kawasan kampus bagi mencapai pengurangan pelepasan karbon UPSI sehingga 45% pada tahun 2030 seperti yang digariskan dalam Polisi SDG UPSI.

“Ini adalah satu pencapaian yang baik dan permulaan dalam merealisasikan inisiatif UPSI sebagai kampus rendah karbon,” ujar beliau terhadap komitmen yang tinggi dari FSK dan FSM dalam mencapai anugerah pensijilan provisional dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023 yang disampaikan oleh YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Malaysia pada bulan Februari yang lalu.

UPSI telah mempunyai Sistem solar yang dipasang dibeberapa kawasan termasuk kompleks sukan, tapak pesta konvokesyen, bangunan fakulti, dan beberapa kawasan lain. Usaha ini sangat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon daripada penggunaan tenaga boleh baharu yang sifar karbon selain daripada menjimatkan bil elektrik kampus. Usaha ini juga dapat meningkatkan pencapaian dalam penarafan UPSI dalam UI Green Metric World University Ranking berkenaan inisiatif hijau daripada kedudukan 132 kepada 122 pada tahun 2023.

Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata, “Majlis peluncuran ini adalah bagi mendukung aspirasi negara dalam membina Malaysia Madani dengan masyarakat yang lebih cakna terhadap nilai dan kepentingan memelihara alam sekitar dan keharmonian dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, “Saya berharap agar hasrat murni penganjuran acara ini dapat memperkukuhkan rasa kekitaan dan kemesraan dalam kalangan seluruh warga UPSI seterusnya menjadi pendorong kepada hasil kerja yang lebih produktif dan bermutu tinggi,” katanya.

Majlis diteruskan dengan kempen Revolusi Keselamatan Jalan Raya daripada Syarikat Chong Motorcycles, Goh Brothers Cars yang mempamerkan kereta BYD seterusnya daripada Didi Motors, Perodua, Sekolah Memandu Wawasan dan juga agensi-agensi kerajaan seperti JPJ, Jabatan Bomba dan PDRM. Selebriti terkenal yang memeriahkan majlis ini adalah seperti Kamal Affandi dan Boss James.

Turut berlangsung dalam majlis sama ialah sambutan Hari Keluarga UPSI yang sememangnya telah menjadi acara tahunan Di UPSI. Antara menu yang menjadi tumpuan adalah buah Durian yang dianggarkan lebih daripada 1 tan, di samping menu-menu tradisional dari setiap fakulti.

Majlis dimeriahkan lagi dengan majlis pembukaan Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat Sukan yang bermula pada hari ini sehingga 12 Julai 2024 selama 2 minggu.

Penganjuran seperti ini dapat memupuk nilai kemanusiaan dan keihsanan dalam kalangan kakitangan UPSI. Hanya dengan rasa kekitaan dan kemesraan yang tebal dalam kalangan warga UPSI, produktiviti dalam kerja yang bermutu tinggi pasti dapat dicapai sepenuhnya.

Penganjuran program seperti ini dapat memupuk nilai kemanusiaan dan keihsanan dalam kalangan kakitangan UPSI. Hanya dengan rasa kekitaan dan kemesraan yang tebal dalam kalangan warga UPSI, produktiviti dalam kerja yang bermutu tinggi pasti dapat dicapai sepenuhnya.