Oleh: Intan Farahana Abdul Rani (Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri & Komuniti)
Tanjung Malim: Delegasi dari Universitas Negeri Semarang (UNNES) mengadakan lawatan ke Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Julai lalu. Lawatan ini bertujuan untuk menggali fasiliti dan perkhidmatan yang terdapat di TASKA dan TADIKA serta memperluas kolaborasi dalam penyelidikan perkembangan kanak-kanak.
NCDRC mengalukan lawatan yang merangkap kolaborasi awal dari pihak UNNES bagi berkongsi amalan sebagai pusat penyelidikan yang diakui di peringkat antarabangsa yang berperanan untuk mempromosikan pemahaman mendalam tentang perkembangan kanak-kanak dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Selain itu, pihak NCDRC juga berperanan penting dalam menyokong pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia dengan menyediakan panduan terkini dalam perkembangan kanak-kanak.
Tujuan utama lawatan ini adalah bagi meninjau fasiliti dan perkhidmatan di TASKA dan TADIKA. Delegasi UNNES melalui jaringan yang dibina oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan berminat untuk melihat pengurusan dan penyeliaan kanak-kanak, pendekatan pendidikan, serta kemudahan keselamatan dan keselesaan.
Selain itu, pihak UNNES juga berhasrat untuk memperluas kerjasama dengan NCDRC dalam bidang penyelidikan perkembangan kanak-kanak. Hal ini melibatkan pertukaran idea, penyelidikan bersama, dan inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang berkesan.
Menurut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pengkomersilan), Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, lawatan ini menandakan langkah positif dalam memperkukuhkan hubungan antara UNNES dan NCDRC serta dalam memperluas pemahaman mengenai perkembangan kanak-kanak merentas negara.
“Dengan ini, kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang demi masa depan pendidikan dan perkembangan kanak-kanak yang lebih cerah”, ujar beliau.
Kunjungan pihak UNNES ini bermula dengan sesi penerangan dan pengenalan mengenai misi NCDRC serta peranan pentingnya dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Seterusnya adalah sesi perbincangan kolaborasi delegasi dari UNNES dengan barisan pengurusan iaitu Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pengkomersilan) bersama Dr. Masayu Dzainuddin, Timbalan Pengarah (Akademik dan Pembangunan Kanak-Kanak) serta Dr. Intan Farahana Abdul Rani, Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti untuk mengetahui peluang kolaborasi dalam penyelidikan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Seterusnya, delegasi dibawa melawat TASKA dan TADIKA di NCDRC untuk melihat secara langsung pengurusan harian, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, serta interaksi guru dengan kanak-kanak.
Diharapkan lawatan ini dapat menghasilkan kesedaran yang lebih mendalam mengenai pentingnya penyelidikan perkembangan kanak-kanak dan pentingnya kerjasama kolaborasi yang boleh diperluas melibatkan pihak UNNES dan NCDRC bagi menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan inovasi dalam pendidikan awal kanak-kanak.