Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Tanjong Malim – Usaha untuk memberi kesedaran kepada umum mengenai penyakit kelamin tidak terhad kepada mereka yang sudah berkahwin sahaja. Tetapi, harus diberikan dari peringkat akar umbi. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim dengan kerjasama Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kelab Psychological First Aid (PFA) telah menganjurkan Program PROSTAR bersama para pelajar Kolej Vokasional Slim River. Program selama 2 hari 1 malam ini telah dilaksanakan di Kolej Za’Ba UPSI pada 18 dan 19 Mei. Sebelum program PROSTAR ini dilaksanakan, barisan fasilitator daripada UPSI telah menjalani Training of Trainers bertempat di Bilik Seminar Raflesia pada 13 Mei bagi mendapat persediaan awal bagaimana program akan dikendalikan.
Tujuan program ini dilaksanakan bagi memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahaya penyakit HIV dan AIDS. Kesan yang akan diperoleh jika menghidap penyakit ini bukan sahaja melibatkan fizikal, malah turut melibatkan mental. Stigma atau tanggapan yang dipandang oleh masyarakat terhadap pesakit HIV dan AIDS sangat negatif dan bakal meninggalkan kesan terhadap kesihatan mental pesakit. Selain daripada itu, program ini juga berhasrat untuk memberikan pendedahan kepada pelajar bagaimana untuk mencegah diri daripada terkena penyakit ini. Pelajar juga didedahkan dengan kaedah yang boleh digunakan untuk berhadapan dengan stigma dan tanggapan masyarakat sekiranya menghidap penyakit HIV dan AIDS.
Dalam masa yang sama, program PROSTAR ini juga mempersiapkan pelajar untuk menjadi agen penyebaran maklumat berkaitan bahaya HIV dan AIDS. Selari dengan slogan program ‘Dari Remaja Untuk Remaja’, para pelajar turut diberikan pengetahuan dan pendedahan berkaitan pendekatan yang boleh dilakukan untuk menyebarkan maklumat ini. Pengaruh rakan sebaya amat memainkan peranan yang sangat penting serta memberi kesan yang sangat tinggi terhadap rakan sebaya mereka. Dr. Nurhidayah Pazhar dalam ucapannya semasa majlis penutup program PROSTAR berharap, para pelajar yang menyertai program kali ini mengambil ilmu yang diperoleh dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian serta berusaha untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang berpotensi untuk mendapat HIV dan AIDS. Diharapkan agar, program seperti ini dapat dijalankan bukan sahaja diperingkat sekolah, malah melibatkan masyarakat awam dalam usaha untuk membendung peningkatan penghidap HIV dan AIDS.