Oleh : Noraini Aminuddin (FPE) dan Ali Zainal Abidin Lokman (Pusat Sukan)

Tanjong Malim, 12 Julai 2024 – Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2024 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melabuhkan tirai selepas selama hampir dua minggu berlangsungnya KIESTA bermula 03 hingga 12 Julai di sekitar Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) UPSI.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, dalam ucapannya menyatakan dengan kewujudan sukan ini, ukhwah terbentuk dalam kontinjen, tanpa mengira pangkat dan jawatan bersatu sebagai sebuah keluarga yang hadir memberi sokongan kepada rumah sukan masing-masing.

Gabungan semua kontinjen

“Besar harapan saya agar KIESTA terus dihidupkan lagi dengan satu semangat, satu iltizam, satu kepercayaan, satu tonggak, yang sentiasa bersatu sebagai sebuah keluarga serta membentuk insan yang menyayangi institusinya”, ujar beliau.

Kontinjen Kapten Yazid telah berjaya dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik bagi KIESTA tahun ini yang sekaligus membawa pulang Piala Johan keseluruhan KIESTA 2024 beserta hadiah wang tunai sebanyak RM1000.00 semasa Majlis Penutupan yang diadakan di Arena, Kompleks Sukan UPSI KSAS.

Kapten Yazid telah berjaya mengungguli pingat keseluruhan dan membuat pungutan pingat sebanyak 21 pingat emas, 19 pingat perak serta 12 pingat gangsa. Tempat kedua diungguli oleh Kontinjen Ungku Omar dengan 19 pingat emas, 19 pingat perak dan 13 pingat gangsa. Manakala kontinjen Rahman Talib ditempat ketiga dengan pungutan 19 pingat emas, 13 pingat perak dan 14 pingat gangsa.

Jumlah Pungutan Pingat

Anugerah Olahragawan telah dinobatkan kepada Ahmad Hasbollah Mohamad Yasin dari Kontinjen Kapten Yazid membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 dengan mencipta pungutan pingat terbanyak iaitu 6 pingat emas bagi kategori Olahraga 4x100m Lelaki Senior, 4x400m Lelaki Senior, Petanque Triple Lelaki, Badminton Beregu Lelaki Senior, Bola Sepak dan Futsal, serta 3 pingat perak bagi Olahraga 4x400m Campuran Senior, Mini Tenis Beregu Lelaki dan Bola Tampar Lelaki.

Manakala anugerah Olahragawati pula dinobatkan kepada Zahidah Zainal Abidin yang juga dari Kontinjen Kapten Yazid yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.00 kerana telah berjaya membuat pungutan pingat sebanyak 5 pingat emas bagi kategori Rejam Lembing, Lontar Peluru, Lempar Cakera, Futsal, Bola baling, serta pingat gangsa bagi Bola Tampar Wanita.

Olahragawan dan Olahragawati bersama Naib Canselor UPSI

Turut hadir dalam memeriahkan Majlis Penutupan ini oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang terdiri daripada Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman, En. Mohamad Najib Mohamed, Prof. Dr. Azmi Mohamed, Pn. Salwati Mohd Aris dan Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad.

Dalam acara yang disertai oleh 8 buah rumah sukan yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab serta pelbagai golongan lapisan kakitangan UPSI menunjukkan kehebatan dalam 19 acara sukan yang telah dipertandingkan antaranya seperti olahraga, petanque, perahu naga, futsal, tarik tali, bola sepak, dart, memanah, pingpong, mini tenis, hoki dewan, badminton serta lain-lain lagi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)