Tanjong Malim: Pusat Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) bersama Institut Sukan Negara (ISN) menganjurkan Kursus Sains Sukan Tahap 1 dari 27 hingga 31 Mei bertempat di Arena UPSI.

Kursus yang berlangsung selama 5 hari ini melibatkan 60 peserta, termasuk 30 warga UPSI dan selebihnya terdiri daripada jurulatih dari pelbagai sukan seperti Taekwondo, Bola Sepak, Memanah dan Tenis. Selain itu,kehadiran atlet kebangsaan sebagai perserta kursus turut menjadi tumpuan peserta lain .Atlet yang hadir ke kursus kali ini bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan yang lebih spesifik terhadap aplikasi sains sukan dalam sukan yang diceburi. Sepanjang kursus ini berlangsung, para peserta didedahkan dengan beberapa ilmu termasuk ilmu tentang Anatomi dan Fisiologi, Sukan, Pemakanan Sukan, Suaian Fizikal, Perubatan Sukan, Anti-Doping, Psikologi Sukan, Tingkah Laku Motor dan Biomekanik.

Sesi pertama dimulakan oleh penyelia kursus dari Institut Sukan Negara, Mohd Hafizi Hamdan yang menghuraikan topik ‘Falsafah Sukan’, menjelaskan elemen-elemen seperti nilai dan etika, matlamat dan objektif, serta pendekatan kejurulatihan. Beliau juga menerangkan kepentingan falsafah sukan terhadap jurulatih, termasuk sebagai panduan dalam membuat keputusan dan pembentukan identiti jurulatih. Topik ini sangat bertepatan dengan jiwa bakal-bakal jurulatih.

Pada sebelah petang, kursus diteruskan dengan pembelajaran tentang ‘Anatomi dan Fisiologi Sukan’ oleh Noor Aiwa Rosman. Beliau menerangkan bahawa anatomi dan fisiologi sukan adalah dua bidang penting dalam kursus sains sukan yang memberikan asas saintifik untuk meningkatkan prestasi atlet dan memastikan mereka tetap sihat dan selamat semasa bersukan.

Hari kedua kursus diteruskan dengan tajuk ‘Pemakanan Sukan’ yang disampaikan oleh Tham Ching Suen. Beliau membincangkan bagaimana makanan dan minuman mempengaruhi prestasi atlet dan membantu dalam pemulihan selepas latihan atau pertandingan. Dr. Ali Mohd Nadzalan meneruskan sesi pada jam 11 pagi hingga 5.30 petang dengan topik ‘Suaian Fizikal’. Dalam sesi ini, beliau memulakan dengan pengajaran teori, diikuti dengan sesi praktikal untuk mengukur tahap kecergasan fizikal para peserta.

Kursus Sains Sukan Tahap 1 diteruskan lagi pada hari ketiga, kursus dimulakan dengan topik pembukaan bertajuk ‘Perubatan Sukan’ oleh Sabilaini Ramli. Dalam pembelajaran ini, beliau menjelaskan bahawa perubatan sukan adalah bidang yang mengkaji cara mencegah, merawat, dan memulihkan kecederaan yang dialami semasa bersukan atau aktiviti fizikal. Perubatan sukan merangkumi beberapa aspek penting seperti pencegahan kecederaan, rawatan kecederaan, pemulihan selepas kecederaan, serta kepentingan perubatan sukan. Dalam sesi ini, beliau mengamalkan komunikasi dua hala dengan peserta untuk memastikan mereka memahami konteks dan menggalakkan mereka bertanya soalan.

Sesi terakhir pada hari ketiga membincangkan topik ‘Anti-Doping’. Seperti yang diketahui, anti-doping adalah usaha untuk mencegah penggunaan bahan terlarang dalam sukan. Dr. Mohd Hafizuddin Baki menerangkan secara jelas tentang isu doping seperti punca doping dilarang, peraturan anti-doping, akibat, serta kepentingannya. Beliau menekankan agar bakal-bakal jurulatih tidak mempraktikkan penggunaan bahan terlarang dalam sukan.

Hari berikutnya diteruskan lagi seawal jam 8.00 pagi oleh Profesor Madya Dr. Nelfianty Mohd Rasyid yang bertajuk ‘Psikologi Sukan’. Secara kesuruhannya, psikologi sukan adalah cabang psikologi yang mengkaji bagaimana faktor psikologi mempengaruhi prestasi atlet dan bagaimana penyertaan dalam sukan dan aktiviti fizikal mempengaruhi kesejahteraan psikologi. Psikologi melibatkan pelbagai aspek seperti motivasi, tekanan, keyakinan diri, fokus, dan pengurusan emosi. Bermulanya sesi seterusnya, Prof. Madya Dr. Jeffrey Low Fook Lee meneruskan kursus dengan tajuk pembelajarannya iaitu tentang ‘Tingkah Laku Motor’. Tingkah laku motor dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk perkembangan otak, kecergasan fizikal, dan latihan.

Kajian mengenai tingkah laku motor penting untuk memahami cara manusia bergerak dan mengembangkan program rehabilitasi serta latihan yang efektif. ‘Biomekanik’ adalah tajuk yang dipilih sebagai penutup kursus sains sukan dan disampaikan oleh Siti Fuzyma Ayu Mohd Kassim. Pentingnya untuk memahami biomekanik adalah supaya atlet dan jurulatih dapat mengembangkan strategi latihan yang lebih efektif, memperbaiki teknik, dan mengurangkan risiko kecederaan, seterusnya meningkatkan prestasi keseluruhan dalam sukan.

Pada hari terakhir yang merupakan hari penentuan sejauh mana kefahaman para peserta Kursus Sains Sukan Tahap 1 di mana sesi peperiksaan berkenaan sains sukan dijalankan. Setiap peserta yang menyertai kursus ini perlu menjawab peperiksaan terlebih dengan ilmu yang dipelajari mereka selama empat hari. Ia merupakan syarat wajib untuk melepasi kursus ini yang sesuai dengan objektif ISN sendiri iaitu mewujudkan daya saing dalam kalangan jurulatih melalui program kursus sains sukan, khusus sukan, bengkel aplikasi dan seminar. Tidak dilupakan juga, ianya dapat meningkatkan pengetahuan jurulatih selaras dengan perkembangan teknologi terkini dalam bidang kejurulatihan.

Diharap kursus ini memberikan ilmu pengetahuan dan membantu peserta ke peringkat seterusnya serta memudahkan mereka dalam fasa seterusnya bagi melayakkan mereka untuk dianugerahkan sijil sains sukan tahap 1.

Tahniah dan Selamat Maju Jaya! “Impossible is Nothing”