UPSI,Tanjong Malim: Pusat Sukan dan Kelab Taekwando Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) berjaya mengadakan Kyorugi Referee Refresher & Qualification Course 2024. Acara ini telah berlangsung pada 25 hingga 26 Mei lalu. Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengadil kyorugi serta memastikan mereka memenuhi standard kelayakan yang ditetapkan.
Kursus ini telah dihadiri oleh 66 orang peserta, yang terdiri daripada pelajar dan atlet taekwando daripada pelajar-pelajar dari kalangan institusi pengajian tinggi. Berdasarkan jumlah tersebut, 17 orang peserta terdiri daripada pelajar dari UPSI. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen dan minat yang mendalam daripada atlet taekwando bagi melahirkan pengadil kyorugi yang berkualiti tinggi.
Kursus ini merangkumi dua slot utama iaitu sesi teori dan sesi praktikal. Dalam slot teori yang diadakan di bilik sekretariat UPSI, slot ini melibatkan penerangan tentang peraturan terbaru, panduan dan etika pengadilan, serta teknik-teknik yang perlu dikuasai oleh setiap pengadil. Sesi ini disampaikan oleh pakar dan pengadil berpengalaman untuk memastikan peserta mendapat input berharga yang relevan dan sesuai dengan peredaran semasa.
Selain daripada slot teori, kursus ini juga menjalankan sesi praktikal. Peserta dapat merasai pengalaman simulasi menjadi pengadil taekwondo seperti situasi sebenar. Sesi ini berlangsung di arena UPSI. Latihan ini penting untuk memberikan pengalaman langsung dan pemahaman yan mendalam tentang peraturan dan teknik kyorugi. Peserta juga diberi peluang untuk mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar, sekaligus meningkatkan kemahiran mereka dalam membuat keputusan yang tepat dan adil semasa pertandingan.
Kyorugi Referee Refresher & Qualification Course 2024 di UPSI ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh kemahiran dan pengetahuan pengadil sedia ada, tetapi juga untuk menyediakan platform bagi pelajar-pelajar yang berminat untuk menjadi pengadil yang berwibawa. Dengan penyertaan aktif daripada institusi pengajian tinggi dan bimbingan daripada pakar, diharapkan agar kursus ini dapat melahirkan lebih ramai pengadil kyorugi yang berkaliber dan profesional.
Kursus seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar atlet-atlet dan peserta dapat mengembangkan ilmu pengetahuan dalam sukan taekwondo dari aspek kepegawaian.