Oleh: Cik Ummikalsum Mat Lazim dan Cik Balqis Khalisah Ahmad Fath
Program lawatan ilmiah oleh Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari Melaka diadakan pada 11 Julai 2024 di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan melibatkan seramai 26 orang pelajar Tingkatan 5 serta 7 orang guru pengiring dan disambut oleh barisan Exco Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI.
Program ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan, Dr Abu Zarrin Selamat.
Pelajar di beri peluang untuk menyertai sesi taklimat bersama Dr Norhisham Muhamad berkaitan pendedahan tentang suasana pembelajaran di universiti dan syarat-syarat kemasukan ke universiti serta motivasi bagi meningkatkan potensi dan kesungguhan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.
Lawatan ini juga bagi memupuk minat pelajar untuk menceburi bidang tahfiz dan qiraat di masa hadapan. Di samping itu, Cik Balqis Khalisah Ahmad Fath merupakan alumni AT36 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Jabatan Pengajian Islam turut berkongsi pengalaman sepanjang pengajian beliau di UPSI kepada para pelajar.
Mengulas tentang keberkesanan program ini, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan Dr. Abu Zarrin Bin Selamat, berkata lawatan ilmiah seperti ini amat digalakkan kerana di samping dapat bertukar idea dan fikiran, secara tidak langsung ianya mampu memartabatkan ilmu dalam bidang pengajian Islam dan Tahfiz dalam kalangan pelajar khususnya.
Pada lawatan ini, pelajar dibawa melawat sekitar kampus dan juga fasiliti yang disediakan seperti Perpustakaan Tuanku Bainun untuk memberi pendedahan dan juga semangat kepada para pelajar untuk menjadikan UPSI univerisiti pilihan mereka pada masa akan datang.
Moga dengan kunjungan ini dapat merealisasikan apa yang dihajati dan mengeratkan hubungan ukhuwah islamiah antara Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari Melaka dan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.