Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Puan Sayani Haji Saidon melakukan satu kunjungan hormat bersama 6 orang pegawai ke Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.

Pertemuan dua hala ini bertujuan membincangkan dan memperkukuhkan peluang kerjasama strategik terutama dari segi inisiatif yang disediakan oleh pihak UPSI dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan keselamatan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff di dalam ucapan beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana sentiasa menyalurkan khidmat pelindungan dan kemanusiaan semasa berlakunya apa-apa bencana.

Prof Datuk Dr. Md Amin menyampaikan ucapan beliau

“UPSI sentiasa mengalu-alukan kedatangan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak untuk menjalankan aktiviti latihan menyelamat dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan bagi melahirkan pegawai yang professional,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Puan Sayani Haji Saidon berkata masyarakat pada masa kini perlu didedahkan mengenai kesedaran dalam menjaga keselamatan diri, keluarga serta komuniti sekitar.

Puan Sayani Haji Saidon ketika memberikan ucapan

“Kebanyakan masyarakat lebih mempelajari teori berbanding latihan amali menyebabkan mereka menghadapi sedikit kesukaran untuk mengendalikan hal-hal kecemasan.

“Menerusi kolaborasi dengan pihak UPSI ini akan menjadikan satu platform bagi memberi latihan dan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menjaga kesalamatan diri dan orang lain,” katanya.

Pertemuan dua hala hari ini menyaksikan beberapa jalinan kerjasama yang boleh dilaksanakan antaranya mengadakan Program Kesedaran Kesihatan Mental kepada mangsa dan anggota bomba, mewujudkan satu kursus kepada pelajar yang menekankan aspek kebakaran api, mewujudkan kursus Bahasa Inggeris kepada anggota Bomba dalam melahirkan pegawai yang profesional dan memperkasakan Kem Bina Insan Bitara.

Prof Datuk Dr. Md Amin menerima cenderamata daripada JBPM Perak

Turut hadir sama Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril; Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Dr. Jaffry Zakaria; Pengarah, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Prof Dr. Haniza Hanim Mohd Zain; Pusat Kokurikulum, Prof Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim; Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Prof Dr. Mohd Azlan Nafiah.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)