Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 29 Julai 2024 – Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menerima kunjungan hormat daripada Cawangan Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seramai 20 orang yang diketuai oleh Ketua Pegawai Psikologi, Zulaiha Aman,.

Turut hadir sama, pegawai agensi di bawah KKDW seperti MARA, RISDA, KEMAS, FELCRA, JAKOA dan KEJORA.

Hadir menyambut kedatangan rombongan dari KKDW ini ialah Ketua Jabatan Psikologi, Hazalizah Hamzah; Ketua Program Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian (SM Psikologi), Priyalatha Govindasamy, pensyarah jabatan dan kakitangan FPM.

Menurut Zulaiha Aman, jalinan kerjasama antara KKDW bermula dengan penempatan latihan industri dua orang mahasiswa SM Psikologi.

“Kami sangat berpuas hati dengan mutu kerja, daya usaha dan keperibadian mahasiswa-mahasiswa tersebut dan kami berbesar hati untuk menerima lebih ramai mahasiswa pada masa depan,” katanya. 

Di samping itu, Hazalizah Hamzah menyambut baik hasrat KKDW untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pembangunan modul dan inovasi khususnya yang berkaitan dengan bidang Psikologi Klinikal.

Cadangan ini selaras dengan penawaran Program Psikologi Klinikal USM-UPSI peringkat Sarjana dan Kedoktoran yang semakin dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kunjungan hormat yang julung kali diadakan ini akan dilanjutkan dengan siri mesyuarat, perbincangan serta bengkel bagi memastikan aktiviti kerjasama dapat dilaksanakan dengan azam untuk melengkapkan sekurang-kurangkan satu projek sebelum berakhirnya tahun 2024.

Kerjasama akademik dan profesional antara UPSI dan KKDW dijangka akan memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua belah pihak dan juga kepada masyarakat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)