Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 1 Ogos 2024 – Fakulti Pembangunan Manusia UPSI (FPM) menerusi Special Bussiness Unitnya FPMXCELL memberi latihan kepada warga Instititut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Kursus Latihan Pembimbing Dewasa Professional selama 4 hari 3 malam di Scholar’s Suites Hotel, UPSI.

Objektif kursus ini adalah untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran pembelajaran dan pengajaran dewasa (Andragogi).

Kaedah dan strategi penyampaian untuk pelajar dewasa juga perlu seiring dengan kehendak dan keperluan peredaran semasa.

Kursus ini adalah terjemahan komitmen tinggi Fakulti Pembangunan Manusia untuk memberi manfaat kepada industri serta masyarakat dalam dunia pendidikan serta latihan, menerusi portfolio jaringan Industri dan pengkomersilan yang diketuai Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, Dr Nor Mashitah Mohd Radzi.

“Alhamdulillah, banyak perkara baru dipelajari dalam kursus ini antaranya teknik lontaran suara dalam pengajaran, perbezaan pedagogi dan andragogi, aplikasi AI dalam pengajaran dan lain-lain.” Kata Ketua Penolong Pengarah Kanan ILIM, Puan Adawiyah yang turut menyertai kursus tersebut.

Dr Nik Muhammad Hanis, yang mengetuai barisan tenaga pengajar dalam projek ini berkata, “Saya mengharapkan kursus ini dapat memberi manfaat kepada tenaga pengajar ILIM. Moga segala ilmu dan teknik mengajar dapat diaplikasikan untuk memandaikan ummah”.

Dalam sesi penutup, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim berkata, “Kolaborasi antara UPSI dan ILIM akan terus diperkuatkan selepas ini bukan hanya dalam bidang latihan pengajaran, namun akan turut melibatkan kepada aspek pembangunan modul, penyelidikan  dan juga jurnal penerbitan UPSI-ILIM”

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)