Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 20 Ogos 2024- Seramai 20 wakil pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 16 wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh Malaysia, 20 wakil daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam serta 120 wakil Institusi Pendidikan Tinggi Swasta hadir dalam Sesi Libat Urus (SLU) KPM bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyelaras dan meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan Latihan Mengajar, Praktikum (Internship) di Institusi Pendidikan bawah kementerian berkenaan.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Mengajar dan Latihan Industri (PuLaMI), UPSI itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Ismail Ibrahim bertempat di Bilik Seminar Aminudin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.
Beliau berkata, penganjuran SLU ini menjadi medium untuk KPM menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan tata cara pengoperasian dan pelaksanaan latihan mengajar, praktikal, internship atau latihan industri di institusi pendidikan bawah KPM.
“Latihan Mengajar dan Latihan Industri sangat memberi impak yang signifikan kepada warga institusi pendidikan bawah KPM.
“Platform ini bukan sahaja untuk guru pelatih atau pelajar mendapatkan pengalaman sebenar menjadi seorang pendidik tetapi juga adalah platform pertukaran ilmu, pengalaman dan kemahairan antara guru pelatih dan guru terlatih,” ujar beliau.
Menurut beliau, perkembangan teknologi yang pesat telah memberi impak besar kepada dunia pendidikan.
“Kehadiran guru pelatih atau pelajar IPT yang kebanyakkan terdiri daripada Gen Z dilihat mampu menjadi pendorong kepada guru Milenial (Gen Y) dan guru Gen X kerana mereka sangat mahir mengendalikan pelbagai aplikasi gajet, mereka secara tidak langsung dapat berkongsi kemahiran dengan guru terlatih sedia ada di sekolah”, tambah beliau.
Menerusi program ini, terdapat tiga perkara dasar yang dibincangkan iaitu prosedur kebenaran untuk ke sekolah bagi melaksanakan latihan mengajar; prosedur permohonan permit mengajar; dan elaun praktikal.
Sementara itu, Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata UPSI sebagai sebuah universiti berteraskan pendidikan, amat menyokong usaha KPM mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) ini.
“Untuk rekod, pihak UPSI sendiri mengeluarkan seramai lebih 3000 mahasiswa bagi menjalani Latihan Mengajar dan Industri Kaunseling dan lebih 3000 mahasiswa bagi menjalani program Perantis Guru di sekolah dan institusi pendidikan terlibat setiap tahun.
“Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu PuLaMI, UPSI mengendalikan pengurusan penempatan Latihan Mengajar dan Perantis Guru dengan lebih sistematik dalam masa akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Hadiri sama Peguam Kanan Persekutuan, Unit Khidmat Nasihat (Dasar dan Perundangan), Pejabat Penasihat Undang-Undang, KPM, Pn. Hanim Abdul Rahman; Penolong Pengarah, Unit Gubalan Akta dan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Noraini Abdul Latif; Pengarah, Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Prof Madya Dr. Ashardi Abas serta Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril.