Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 22 Ogos 2024- Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan ceramah umum bertajuk ‘Islam dan Kesederhanaan Dalam Kontroversi Dunia Hari Ini’

Ceramah yang berlangsung di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI disampaikan oleh Profesor Adjung, Fakulti Sains Kemanusiaan, Datuk Dr. Afifi Al- Akiti.

Beliau berkata, perbincangan dan pendedahan berhubung isu berkaitan dengan Islam dan kesederhanaan dalam kontroversi yang berlaku pada hari ini sangat signifikan untuk membina dan menanam ‘karomah insaniah’ kepada para pendidik dan bakal guru yang ada di UPSI ini.

“Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar tentang kekalutan dan kacau bilau yang timbul ekoran daripada kegagalan anggota masyarakat untuk menerima dan mengiktiraf perbezaan pandangan antara satu sama lain.

Datuk Dr. Afifi Al- Akiti semasa menyampaikan ceramah beliau.

Menurut beliau, rusuhan yang dibenihkan dan dijana oleh sikap prejudis dalam anggota masyarakat yang berbeza etnik di United Kingdom atau rusuhan anti pelancong di Barcelona ekoran dari tekanan ekonomi, contohnya memperlihatkan kepada kita tentang bahaya yang timbul akibat kesukaran dan keengganan untuk menerima dengan terbuka perbezaan yang datang daripada orang lain.

“Sebagai warga Malaysia, kita perlu sentiasa sedar bahawa keengganan dan sikap prejudis kepada kumpulan yang berbeza daripada kita akan memberikan kesan yang negatif kepada keharmonian dalam negara ini.

“UPSI kini berusaha sedaya mungkin untuk meneruskan legasi kegemilangan institusi ini sejak 100 tahun yang lalu dan kini UPSI sedang bergerak untuk merealisasikan UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan di Malaysia.

“Salah satu daripada cara untuk kita merealisasikan impian ini adalah dengan memperkasakan jati diri para mahasiswa yang bakal berkhidmat kepada anak bangsa satu hari nanti dengan mendedahkan mereka kepada input yang berguna seperti yang kita lakukan melalui majlis pada hari ini,” kata beliau.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata, sifat cakna kepada perkembangan yang terjadi dan isu yang tercetus di peringkat kebangsaan dan antarabangsa amat penting dalam usaha untuk menyuburkan nilai peribadi guru yang mempunyai sifat empati.

Menurut beliau, sikap ini akan membolehkan mereka memahami isu yang timbul dalam masyarakat dari perspektif yang menyeluruh dan seimbang.

Dr. Nor Kalsum memberi ucapan

“UPSI sebagai institusi pendidikan juga ingin memainkan peranannya sebagai institusi pendidikan yang menyuburkan sikap rasional dan sentiasa peka untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan dalam negara yang kita cintai ini.

“Guru lepasan UPSI perlulah aktif dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang menghargai, mengamalkan, mempertahankan dan menyuburkan perpaduan.

“Majlis ilmu sebegini saya harap mampu menyemarakkan usaha untuk melahirkan graduan yang sentiasa peka kepada perkembangan semasa dan komited dalam mendukung usaha bagi menjamin keharmonian negara,” ujar beliau.

Turut hadir sama Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Haji Alimuddin Haji Mohd Dom; Pengarah, Jabatan Strategik, Prof. Dr. Azmi Mohamed; Penasihat Undang-Undang UPSI, Puan Salwati Mohd Aris.