YOGYAKARTA – Sekumpulan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia melalui Exco Kesukarelawan Komuniti dan Kemanusiaan, Majlis Mahasiswa Luar Kampus (MMKLK) telah menganjurkan program Khidmat Komuniti Antarabangsa di Kampung Pinilih, Yogyakarta, Indonesia. Program yang mendapat kerjasama dari Fakulti Psikologi, Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY) ini berjaya dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Program yang dikenali sebagai “International Joint Community Service” ini bertujuan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat setempat terutamanya melibatkan penduduk kurang upaya. Selain itu juga, melalui program ini telah meningkatkan hubungan dua hala antara pelajar dari kedua-dua negara. Aktiviti yang dijalankan melibatkan pelbagai projek seperti pendidikan, kesihatan mental, dan pembangunan komuniti.
Penduduk Kampung bergambar kenangan dengan pelajar UPSI
Pelajar UPSI yang terlibat dalam program ini berpeluang untuk berkongsi pengetahuan mereka dalam bidang pendidikan dan psikologi melalui aktiviti yang dianjurkan bersama dengan pelajar UMBY kepada penduduk kampung tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah bengkel kesedaran kesihatan mental yang dilaksanakan melalui aktiviti mengecat beg kanvas menggunakan cat air bagi menunjukkan ekspresi mental peserta.
Aktiviti mengecat kanvas menggunakan cat air
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, program ini merupakan peluang keemasan dalam mengenali budaya dan sistem pendidikan di Indonesia serta peranan universiti terhadap masyarakat setempat. “Kami berharap melalui program ini, pelajar dapat meningkatkan kemahiran komunikasi silang budaya, memahami keperluan masyarakat antarabangsa, serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar,” katanya.
Dekan Fakulti Psikologi UMBY, Dr. Reny Yuniasanti berkata, kerjasama ini memberi manfaat besar kepada kedua-dua institusi melalui program khidmat masyarakat yang disertai oleh pelajar dari dua negara. “Melalui program ini, kami dapat memperkenalkan pelajar kepada kepentingan psikologi dalam pembangunan komuniti, di samping mengeratkan hubungan akademik antara universiti di Malaysia dan Indonesia,”ujarnya.
Program ini mendapat sambutan baik dan maklumbalas yang positif daripada penduduk Kampung Pinilih, Yogyakarta, Indonesia. Rata-rata yang terlibat merakamkan berterima kasih atas sumbangan tenaga dan ilmu yang diberikan oleh para pelajar. “Kami sangat berbesar hati menerima kunjungan dan bantuan daripada pelajar-pelajar ini. Mereka tidak hanya membantu, tetapi juga belajar bersama kami,” kata Puan Nahda, wakil penduduk kampung.
Prof Madya Ts Dr Che Ghani Che Kob bersama pelajar UPSI
Program Khidmat Komuniti Antarabangsa ini merupakan salah satu inisiatif MMKLK, UPSI yang bertujuan untuk mengembangkan pengalaman pembelajaran pelajar di luar bilik kuliah, di samping memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan. Kejayaan program ini diharapkan akan membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama pada masa akan datang.