19 Ogos 2024 – Satu pertemuan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad diadakan pada Isnin lalu yang dihadiri oleh Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi, Pasukan CIRCLE UPSI, serta pasukan penyelidik yang diketuai Dr.Hasrul Hosshan.
Tujuan kunjung hormat ini adalah untuk bertemu dan berbincang sendiri mengenai hala tuju penyelidikan yang seterusnya di peringkat nasional seperti pengkhususan pada penjagaan dan pengendalian kanak-kanak OKU ini di samping mendapatkan pandangan dan buah fikiran daripada Tun Mahathir berkaitan modul yang akan diterbitkan.

Menurut Dekan FPM, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, “Kunjung hormat memberi peluang kongsi ilmu dan kepakaran dengan masyarakat, memperkenalkan bidang kepakaran yang ada di FPM dan meningkatkan kerjasama FPM dan industri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Melalui pertemuan ini, dilihat dapat menjadi satu permulaan yang baik buat Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dalam peluang penjanaan melalui perbincangan penyelidikan kebolehpasaran untuk mengwujudkan satu modul latihan yang memenuhi standard nasional dalam penjagaan dan pengendalian kanak-kanak OKU.
Kolaboratif penyelidik IPTA dengan Ashikin Holdings Sdn. Bhd. membawa kepada sinergi penawaran perkhidmatan fasiliti dan latihan OKU yang unggul di Malaysia dan berpusat di UPSI. Jaringan kerjasama FPM XCELL, CIRCLE, INTACT, Jabatan Pendidikan Khas, PPDK Bitara UPSI akan mendukung usaha ini.

UPSI FPM berterima kasih dan berbesar hati kepada Ashikin Holdings Sdn. Bhd. kerana sudi bersama-sama menguruskan pertemuan yang amat bermakna ini. UPSI FPM juga berharap dapat memperkukuhkan kerjasama dengan pihak industri, memahami keperluan antara satu sama lain, dan menyesuaikan ia bagi memenuhi permintaan tersebut. Semoga pertemuan ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.
