Tanjong Malim, 23Ogos 2024 – Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Special Bussiness Unitnya FPMXCELL memberi latihan kepada warga jurulatih Angkatan Tentera Darat (ATM) melalui Kursus Latihan Jurulatih sebagai Fasilitator selama empat hari.

Kursus ini diadakan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat melibatkan 65 orang jurulatih tentera darat dari pelbagai pusat latihan di bawah Tentera Darat.

Objektif kursus ini adalah untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran pembelajaran dan pengajaran dewasa (Andragogi). Kaedah dan strategi penyampaian untuk pelajar dewasa juga perlu seiring dengan kehendak dan keperluan peredaran semasa.

Dr Nik Muhammad Hanis, yang mengetuai barisan tenaga pengajar dalam projek ini berkata, “Saya mengharapkan kursus ini dapat memberi manfaat kepada tenaga jurulatih Tentera Darat dengan struktur pengajaran yang betul serta aplikasi pengajaran menggunakan AI dan toolset yang lain”.

Pensyarah lain yang turut terlibat mengendalikan kursus ini ialah Dr Nor Mashitah Mohd Radzi, Dr Wan Nurul Izza, Ts Dr Mohd Ridhuan Mohd Jamil, Dr Mazarul Hassan dan Dr Mohd Muslim Md Zalli.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar. Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan.

Dekan FPM, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim berkata, “Kolaborasi antara UPSI dan Tentera Darat dan ATM secara keseluruhannya, akan terus diperkuatkan selepas ini antaranya melalui program Smart Tuisyen dan beberapa lagi program yang masih dalam perancangan”.

Semoga para jurulatih Tentera Darat dapat terus mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang program ini.