Tanjong Malim – Bidang pertanian merupakan satu bidang yang mementingkan elemen praktikal iaitu murid perlu berada di lapangan untuk melakukan aktiviti seperti bercucuk tanam, menyelenggara tanaman, merumput dan meracun, menternak haiwan ternakan dan sebagainya. Mata pelajaran Sains Pertanian merupakan satu matapelajaran elektif yang diambil oleh murid tingkatan empat dan lima. Selain itu, pertanian juga menjadi salah satu komponen yang dipelajari dalam matapelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) bagi murid-murid tingkatan satu, dua dan tiga.
Berpunca daripada masalah guru untuk menyampaikan ilmu berkaitan sistem penanaman tanpa tanah kerana tiada alat bantu mengajar yang sesuai maka, tercetusnya idea untuk menghasilan satu inovasi alat bantu mengajar dan alat pembelajaran berasaskan eksperimen yang menggabungkan sistem penanaman secara hidroponik, fertigasi dan konvensional. Inovasi kreatif ini dinamakan Kit 3T (Tanam Tanpa Tanah). Pembinaan kit 3T ini adalah di bawah peruntukan Geran Penyelidikan Universiti (GPU), UPSI pada Tahun 2018 sebanyak RM10,000.00 dan mengambil masa selama 2 Tahun untuk disiapkan dan telah diuji kebolehgunaan dan keberkesanannya di beberapa buah sekolah di sekitar negeri Perak.
Kit ini telah didaftarkan dibawah MyIPO pada bulan Febuari 2024. Selain itu, kit ini dibina dengan menggunakan bahan acrylic dan dilengkapi dengan pam berkuasa rendah dan beroperasi menggunakan kuasa bateri 2A. Antara kelebihan kit ini adalah ia bersaiz kompak, ringan, mudah dibawa, boleh diguna semula dan sangat mudah difahami murid.
Kit 3T pernah memenangi anugerah gangsa dalam pertandingan inovasi iaitu INNOTVET 2020 yang dianjurkan oleh Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain itu, kit ini juga memenangi anugerah Perak dalam pertandingan inovasi terkemuka negara iaitu Malaysia Technology Innovation (MTE) 2024.