Oleh : Dr Samsuddin Abd Hamid

Singapura, 16-19 September 2024 – Delegasi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turah Islami (IPTTI) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abd Rahman Abd Ghani bersama Dr. Samsuddin Abd Hamid dan Encik Ah-Luqman Al-Hakim Che Zahari, telah mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bagi mengenal pasti peluang kerjasama dengan institusi pengajian Islam di negara tersebut.

Dalam lawatan ini, delegasi IPTTI telah berkunjung ke beberapa institusi penting termasuk Kolej Islam Muhammadiyah, Muslim Converts Association of Singapore, Masjid Darul Ghufron, Masjid Maarof, dan Masjid Al-Istighfar.

Kunjungan ke institusi-institusi ini bertujuan memperkenalkan IPTTI kepada institusi-institusi pendidikan di Singapura, serta menjalin hubungan strategik dalam bidang akademik, terutamanya dalam pendidikan Islam.

Selain itu, lawatan juga bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan program pertukaran pelajar serta mempromosikan program Sarjana Muda Pendidikan Islam yang ditawarkan oleh IPTTI.

Selain lawatan ke institusi pendidikan, delegasi IPTTI turut berpeluang melawat sebuah kedai buku di Masjid Kassim, Singapura yang menjadi pengedar utama karya ilmiah Prof. Madya Dr. Abd Rahman.

Kedai tersebut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan karya akademik IPTTI kepada masyarakat tempatan.

Prof. Madya Dr. Abd Rahman menjelaskan bahawa lawatan ini penting bagi meningkatkan interaksi akademik serantau dan memperkuatkan pembangunan pendidikan Islam.

“Melalui kunjungan ini, kami dapat mengenali institusi pengajian Islam di Singapura dengan lebih dekat dan melihat potensi kerjasama dalam pelbagai bidang,” kata beliau.

Dengan lawatan ini, IPTTI berharap dapat memperluas jaringan kerjasama serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi akademik di peringkat serantau, yang seterusnya akan memanfaatkan pelajar dan penyelidik kedua-dua negara.