Oleh: MUHAMMAD FIRDHAUS BIN ROOSLY

Rembau – Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (SEMANIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan program kemasyarakatan iaitu Sungai Talan: Medium Ukhuwah. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan dan PERMANIS Kebangsaan. Program ini turut disambut baik oleh IPTA lain dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Malaysia International Camp Organisation (M.I.C.O.), Politeknik Port Dickson dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu, Rembau. Program ini berlangsung selama tiga hari dari 20 September sehingga 22 September 2024 bertempat di Rekreasi Sungai Talan, Kampung Bintongan. Seruan pihak Yayasan Negeri Sembilan telah disahut oleh SEMANIS UPSI dengan merangka program ini sebagai menyemarakkan mahasiswa dengan aktiviti kemasyarakatan sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang merangkumi aspek pembangunan ekonomi masyarakat setempat. Menerusi program ini, sebuah tapak pekhemahan baru telah dibuka dan dinamakan sebagai 1st Tent Campsite. Pelaksanaan program ini mampu membuka mata masyarakat orang awam di sekitar Negeri Sembilan tentang pusat rekreasi Sungai Talan sebagai tempat pelancongan.

Program ini telah disambut baik oleh IPTA yang lain dengan menghantar wakil sebagai peserta program Sungai Talan: Medium Ukhuwah. Antara IPTA yang terlibat ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaya (UM). Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan sepanjang tiga hari iaitu menambak tapak perkhemahan dengan pasir sungai, mendaki bukit sehingga ke Lubuk Kuali serta melakukan aktiviti pembersihan di kawasan tapak perkhemahan serta di sepanjang laluan pendakian. 

Majlis penutup dilakukan pada hari Ahad bersamaan 22 September 2024 yang telah dihadiri Dr. Jufitri bin Joha, Perunding Unit Pembangunan Insan, Yayasan Negeri Sembilan, Cik Norfazlina Binti Fahti, Pegawai Tadbir, Unit Pembangunan Insan Yayasan Negeri Sembilan, En. Wan Mohd Faizal bin Wan Alias, Pengerusi JPKK Kg. Batu, En. Aidham (Aidam) Aznan, wakil Kelab Sukan Rekreasi Luar (M.I.C.O) dan Tuan Ahmad Fahmi Noordin, Campsite Owner (CO) 1st Tent Campsite. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua SEMANIS UPSI merangkap pengarah program iaitu saudara Muhammad Iman Iskandar bin Bahaman. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan En. Wan Mohd Faizal bin Wan Alias sebagai Pengerusi JPKK Kg. Batu. Akhirnya, majlis penutupan program Sungai Talan: Medium Ukhuwah telah dirasmikan oleh Dr. Jufitri bin Joha iaitu Perunding Unit Pembangunan Insan Yayasan Negeri Sembilan untuk menyampaikan ucapannya. Beliau menjelaskan;

“Buku yang yang ditulis oleh aktivis Singapura, “The Gumption of Mr. Toilet” iaitu Jack Sim perlulah dijadikan inspirasi untuk membangunkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa. Jack Sim memulakan kempen untuk tandas bersih yang membawa kepada penubuhan World Toilet Organization. Usaha beliau menekankan pentingnya kebersihan tandas walaupun isu ini kelihatan remeh namun berjaya membawakan perubahan kepada masyarakat global.

Beliau mengatakan lagi; “Mahasiswa yang membawa perubahan kepada masyarakat ialah individu yang tidak hanya menimba ilmu di universiti semata-mata namun berusaha menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif sosial. Peranan mereka amat penting dalam membina komuniti yang lebih baik. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda mempunyai tenaga, kreativiti, dan semangat untuk mencetuskan perubahan positif dalam gerakan sosial, kempen kesedaran, atau projek komuniti.”

Diharapkan program khidmat masyarakat yang telah dijalankan di Kampung Batu, Rembau dapat membantu penduduk setempat dalam usaha melestarikan alam semula jadi terutamanya Sungai Talan yang kini menjadi destinasi pelancongan. Usaha ini juga bertujuan untuk mempromosikan keindahan Sungai Talan sebagai tempat tarikan pelancong. Seiring dengan persediaan menghadapi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, semoga Rekreasi Sungai Talan berpotensi menjadi salah satu destinasi utama dalam kempen ini.