Oleh: Looi Wai Theng dan Muhammad Mukhlis Wafi Mohd Lazim
Tanjong Malim, 25 September 2024 – Sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai E-sport semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat global, terutama golongan remaja kini.
Populariti permainan video semakin berkembang, memberikan peluang kepada pemain dalam menonjolkan bakat mereka dalam bidang sukan berteknologi ini.
Dalam usaha menyahut perkembangan tersebut, Exco Sukan dan Rekreasi, Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sidang 2024/2025, dengan kerjasama Persatuan Permainan Digital (PPD), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah berjaya menarik perhatian mahasiswa/i UPSI melalui pertandingan Mobile Championship E-Sport yang bertempat di Dewan Harun Aminurrashid (KHAR), UPSI.
Selaku Pengarah Program, Nur Khaleena Mansor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan kerjasama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana yang diketuai oleh Exco Sukan dan Rekreasi di bawah penasihatan Norrulkamari Daud, selaku penasihat persatuan Diploma PAKK, yang turut sama memacu program ini dengan jayanya.
Seramai 10 kumpulan peserta yang terdiri daripada mahasiswa/i UPSI telah sama-sama berentak dalam kejohanan Mobile E-Sport untuk menjadi pemenang, manakala seramai 127 penonton yang turut hadir memeriahkan program memberi sokongan kepada peserta program.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah menyediakan platform sosial kepada mahasiswa/i UPSI agar dapat berinteraksi secara bersemuka selain aktiviti akademik di bilik kuliah serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa/i UPSI.
Pertandingan dimulakan dengan taklimat mengenai permainan yang disampaikan oleh wakil Persatuan Permainan Digital (PPD).
Sepanjang pertandingan, suasana di dewan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan disertai sorakan meriah daripada para penonton.
Program ini juga mendapat kerjasama yang erat daripada pelbagai pihak, khususnya barisan AJK pelaksana yang memberikan komitmen sepenuhnya serta sokongan kuat daripada Persatuan Permainan Digital (PPD).
Acara kemuncak program iaitu penyampaian hadiah kepada para pemenang dan plak penghargaan kepada YPD PPD, Intan Nurfarawardina Baktiar, sebagai tanda terima kasih atas kerjasama mereka dalam menjayakan Mobile Championship E-Sport ini.
Harapan PPD agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi secara terbuka kepada peserta luar pada masa hadapan.
Impak program ini amatlah positif, yang mana peserta dapat mengembangkan kemahiran komunikasi mereka, di samping meneroka dunia e-sukan secara lebih mendalam melalui permainan e-digital yang menekankan pelbagai aspek kepada peserta.
Melalui platform ini juga, mahasiswa/i bukan sahaja dapat berinteraksi secara sihat, tetapi juga menonjolkan bakat dalam bidang yang semakin berkembang pesat ini.
Secara keseluruhan, Mobile Championship E-Sport ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk semangat kesukanan berasaskan teknologi, serta menyediakan ruang sosial yang bermanfaat kepada para peserta.
Program berakhir dengan sesi fotografi yang melibatkan semua jemputan, peserta, AJK pelaksana dan penonton yang hadir. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dan diharapkan program sebegini ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, demi memperkukuh peranan e-sukan dalam kalangan generasi muda UPSI.