Oleh : Dr. Mohd Nazri Abdul Raji

Program “Kami Sahabat Sungai 3W” anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), UPSI, bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Slim berjaya dilaksanakan pada 25 September 2024. Tujuan utama program Kami Sahabat Sungai 3W adalah untuk berkongsi, mendidik dan menyampaikan ilmu kepada murid-murid sekolah luar bandar tentang pentingnya memelihara dan memulihara sungai dan kesan terhadap masyarakat dan ekosistem alam sekitar. Berteraskan konsep 3W iaitu we learnt, we do and we share program ini menyasarkan beberapa matlamat utama dalam memastikan penebaran ilmu mengenai kepentingan kesejahteraan dan kelestarian sungai dari segi aspek memberikan pendidikan dan kesedaran awal, membantu kelestarian ekosistem, mengenali sumber air dan pengurusan serta memperluaskan jaringan pendidikan komuniti.

Program Kami Sahabat Sungai 3W menyambut saranan The UNESCO World Heritage Education Program (1994) dalam memfokuskan kepada peningkatan taraf pendidikan dan pemahaman masyarakat khususnya murid-murid sekolah tentang kepentingan pelestarian, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta warisan setempat agar terus mampan dan terpelihara. Dengan memfokuskan SDG 4 (Quality Education) dan SDG 15 (Life on Land), program ini dapat meningkatkan kesedaran golongan sasaran tentang kepentingan pendidikan pelestarian sungai dengan mengintegrasikan pendidikan, alam dan warisan. Program ini mendorong pendekatan interdisipliner untuk memahami dan mengapresiasi aspek pendidikan, alam, budaya setempat dalam konteks global.

Program ini bermula dengan senamrobik bersama murid-murid SK Ulu Slim yang diketua oleh fasilitator dari UPSI. Program diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh Guru Besar SK Ulu Slim, Sahariddun A. Rani dan disusuli dengan ucapan perasmian oleh Dekan FTV, Profesor Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain. Program ini juga turut dihadiri oleh Penolong PPD Pendidikan Swasta, Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, Mohd Irwan Manshur dan Yang Dipertua PIBG SK Ulu Slim iaitu Nadzri Zainal Abidin serta Ketua Penyelidik Program Dr. Mohd. Amirul Hussain. Selesai upacara perasmian, program ini diteruskan dengan ceramah motivasi bertajuk “Cintai Sungai Kita” yang disampaikan oleh pensyarah Fakulti Sains Kemanusian, UPSI, Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib. Pengisian ceramah ini mendedahkan kepada murid-murid tentang pengenalan tentang apa itu sungai, punca air yang mengalir, tahap kebersihan sungai, habitat di dalam sungai, dan tugas hero cilik dalam pemuliharan sungai.

Selesai sesi ceramah program diteruskan dengan pertandingan mewarna yang bertemakan ‘riang ria sungai kita cintai” bagi tahap 1 dan aktiviti melepaskan benih ikan dan gotong royong membersihkan persekitaran sungai bagi tahap 2. Bagi pertandingan mewarna, aktiviti ini dijalankan di dalam kantin sekolah yang melibatkan peserta murid darjah 1, 2 dan 3. Bagi aktiviti di sungai ia melibatkan peserta murid darjah 4,5 dan 6 dan berlangsung di sekitar Sungai Slim. Bagi aktiviti di sungai, peserta bersama guru dan fasilitator menaiki trem. Trem ini mendapat kerjasama dari pasukan RISDA Eco Park, Ulu Slim. Selain itu, aktiviti sungai ini juga mendapat kerjasama dari pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM), Daerah Mualim bagi menjaga keselamatan semua yang terlibat.

Aktiviti di sungai dimulakan dengan pelepasan benih ikan jenis lampam ke dalam Sungai Slim oleh Dekan FTV, Guru Besar dan Yang Dipertua PIBG SK Ulu Slim dan wakil dari PPD Mualim yang disaksikan oleh semua peserta. Sebanyak beberapa ratus ekor benih ikan dilepaskan untuk tujuan pemuliharaan habitat ikan sungai. Selepasi selesai, aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran sungai dilakukan oleh peserta dan diselia oleh guru dan fasilitator serta pegawai dari APM.

Selepas itu, semua peserta aktiviti di sungai kembali ke SK Ulu Slim bagi sesi penyampaian hadiah untuk beberapa aktiviti pertandingan yang telah dijalankan. Antara aktviti pertandingan yang dijalankan selain dari pertandingan mewarna bagi tahap 1, turut dijalankan adalah pertandingan menulis karangan bagi kesemua tahap bertemakan cintai sungai yang telah dijalankan beberapa hari sebelum program ini berlangsung. Penyampaian alatan sains bagi mengukur tahap kebersihan sungai sumbangan dari FTV, UPSI kepada guru sains SK Ulu Slim juga diselitkan semasa sesi ini. Setelah selesai penyampaian hadiah dan cenderamata majlis ini ditutup dengan sesi bergambar kenang-kenangan dan makan tengahari.

Tuntasnya, program kami sahabat sungai yang bertemakan 3W mencapai objektifnya dengan beberapa aktiviti yang diaturkan dengan kerjasama penuh dari pihak PPD Mualim, SK Ulu Slim, APM Daerah Mualim dan RISDA Eco Park. Kami sebagai pihak penganjur juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) selaku penaja utama dalam menyalurkan dana bagi menjayakan program ini. Program seperti ini diharapkan dapat diadakan berkala dalam mendidik hero cilik bagi memulihara dan mencintai sungai terutamanya sungai-sungai yang terdapat di kawasan persekitaran mereka.