Oleh: Nurul Hakimah Che Abdullah dan Hanis Umayrah Jamaluddin
Tanjong Malim, 13 Oktober 2024 – Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan sebuah program yang bertajuk “Sinergi Kepimpinan: Masa Depan Gemilang”.
Program yang dikendalikan oleh Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO ini diadakan buat julung kalinya untuk mendedahkan kepada mahaiswa/i UPSI terutama barisan kepimpinan Persatuan Geografi tentang kepimpinan dalam suatu organisasi.
Pemimpin menggalas satu tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan organisasi berjalan dengan baik.
Bukan itu sahaja, program ini juga dapat memberi semangat dan motivasi kepada pelapis aktivis Persatuan Geografi untuk memikul tanggungjawab dalam organisasi persatuan serta pemerkasaan mahasiswa/i pada masa akan datang.
Program ini juga menyelaraskan objektifnya dengan matlamat yang lebih luas. Ia memberi fokus kepada elemen yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG), khususnya SDG 4 yang menekankan Pendidikan Berkualiti (Quality Education) dan SDG 16 Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan kukuh.
Penekanan ini menunjukkan komitmen PERGEO dalam menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Penganjuran program sebegini mencerminkan usaha berterusan aktivis PERGEO, khususnya melalui Exco Akademik dan Kerjaya, untuk mendedahkan kepada peserta tentang kepimpinan dalam organisasi dan impaknya kepada diri serta masyarakat.
Program ini turut bertujuan untuk Memberi penghargaan kepada Majlis Tertinggi Persatuan, Exco Persatuan, Rakan Exco Persatuan, Ketua dan Penolong Batch setiap semester serta Petugas Bilik Sumber Geografi sepanjang tempoh berkhidmat.
Program ini turut bermatlamat mengeratkan hubungan antara ahli kepimpinan Persatuan Geografi dengan Aktivis Persatuan Geografi Sidang 2023/2024. Oleh itu, program yang bersifat penghargan seperti ini mampu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang dalam dalam bidang kepimpinan.
Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Sumayyah Aimi Binti Mohd Najib selaku penasihat persatuan Geografi UPSI.
Program ini turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Persatuan Geografi iaitu Bushra Assyakira Baharil Anuar dan dipimpin oleh Pengarah Program iaitu Hanis Umayrah Jamaluddin dan Timbalan Pengarah Program iaitu Edna Sharminei Dodoi daripada Exco Akademik dan Kerjaya Persatuan Geografi sidang 2023/2024.
Program dimulakan dengan ketibaan peserta dan tetamu jemputan sekitar 8.30 pagi, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Perak, serta bacaan doa sebagai pembuka acara.
Ucapan alu-aluan diberikan oleh Yang di-Pertua Persatuan Geografi, Penasihat Persatuan Geografi, dan Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, sebelum perasmian program oleh Ketua Jabatan.
Setelah itu, sesi penyampaian sijil penghargaan berlangsung, di mana sijil diberikan kepada Majlis Tertinggi, Exco, dan wakil-wakil lain yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang tahun. Program diakhiri dengan sesi bergambar, makan tengah hari, dan bersurai pada sekitar jam 1.00 petang.
Program Sinergi Kepimpinan: Masa Depan Gemilang ini telah berjaya mencapai objektif utamanya. Melalui program ini, para peserta didedahkan dengan konsep kepimpinan berkesan dalam sesebuah organisasi.
Pengalaman langsung yang diterima oleh peserta dari sesi penghargaan dan ceramah motivasi telah memberikan mereka inspirasi serta panduan untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pemimpin yang lebih berwawasan pada masa hadapan.
Program ini juga berjaya mengeratkan hubungan di kalangan ahli Persatuan Geografi. Interaksi dan kerjasama yang erat semasa merancang dan melaksanakan program ini memperlihatkan semangat berpasukan yang tinggi.
Ini adalah langkah penting dalam mewujudkan suasana persatuan yang lebih harmonis dan teratur di masa akan datang.
Secara keseluruhan, Program Sinergi Kepimpinan: Masa Depan Gemilang ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai segala matlamat yang ditetapkan.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada para peserta dari segi pengetahuan dan kemahiran kepimpinan, malah ia juga mengukuhkan jaringan sosial dalam kalangan ahli Persatuan Geografi.
Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk Fakulti Sains Kemanusiaan, Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, serta Persatuan Geografi, program ini telah membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengenal pasti dan memahami peranan mereka sebagai pemimpin masa depan yang berkualiti.
Penghargaan yang diberikan kepada barisan kepimpinan dan petugas bilik sumber juga berjaya meningkatkan motivasi dan dedikasi mereka untuk terus memberi yang terbaik pada masa akan datang.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan sebagai platform untuk melahirkan generasi pemimpin yang cemerlang dan berwawasan