Oleh: Dr Mohd Danial Afiq Khamar Tazilah

Tanjong Malim, 11 Oktober 2024 – Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), para pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan bukan sahaja diberikan ilmu pengetahuan melalui pengajaran dan pembelajaran semata-mata malah, turut diberikan pendedahan yang lebih meluas dan terperinci melalui hubungan erat bersama pihak industri.

Jalinan industri ini mampu memperkukuhkan lagi program perakaunan di UPSI agar sesuai dengan kehendak dan keperluan industri di dalam bidang perakaunan pada masa kini.

Oleh itu, Jabatan Perakaunan dan Kewangan (JPK) di Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi (FPE) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama BDO Malaysia bagi merealisasikan tujuan penubuhan fakulti iaitu “Leading Future Minds” dalam mendidik para pelajar menjadi pemimpin yang berketerampilan dimasa hadapan.

BDO Malaysia merupakan firma diperingkat antarabangsa yang mempunyai rangkaian firma profesional kelima terbesar di dunia.

BDO menyediakan perkhidmatan Audit & Assurance, Advisory Services, Business Services & Outsourcing, dan Tax Services kepada perniagaan daripada konglomerat multinasional dan organisasi berorientasikan pertumbuhan, sama ada awam atau swasta.

Hubungan kerjasama yang kukuh diantara pemain industri dan institusi pengajian tinggi seperti BDO Malaysia dan UPSI mampu memberikan peluang yang lebih luas kepada para pelajar dalam mengaplikasikan teori secara lebih praktikal.

Justeru, melalui perjanjian persefahaman diantara BDO Malaysia dan UPSI ini dapat memberikan pelbagai manfaat yang positif dan berguna terhadap pelajar program perakaunan bagi persediaan alam pekerjaan sebagai akauntan bertauliah di Malaysia.

Selain itu juga, MoU ini turut menggalakkan penglibatan para pensyarah dalam menambahbaik mutu pengajaran dan pembelajaran sedia ada melalui penglibatan secara praktikal daripada pihak BDO Malaysia.

Dengan termeterai perjanjian MoU ini, diharapkan agar kedua belah pihak mampu memanfaatkan hubungan dua hala bagi mengurangkan jurang jangkaan diantara insititusi pengajian tinggi dan keperluan industri untuk kebaikan bersama di masa hadapan.

Majlis ini dihadiri oleh Naib Canselor, Dato’ Prof Dr Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Ketua Pegawai Digital, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Ts. Dr Megat Ahmad dan Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor.