Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 14 Oktober 2024 – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPSI Sports Bowl bertempat di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holdings Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar bersama pengurusan tertinggi universiti dan orang kenamaan selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPSI Sports Bowl bertempat di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan doa sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Seusai majlis, Tuanku Zara berkenan melepaskan 3,000 peserta dalam kalangan pelajar dan kakitangan UPSI bagi acara Millenia Pink Fun Walk yang diadakan bertujuan menyokong sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara berkenan melepaskan 3,000 peserta dalam kalangan pelajar dan kakitangan UPSI bagi acara Millenia Pink Fun Walk

Selain itu, Tuanku Zara juga berkenan meluangkan masa ke UPSI Sports Bowl yang merupakan pusat sukan boling 24 lorong pertama dibina dalam institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Md Amin dalam ucapannya berkata lebih RM 200,000 sebulan dijana melalui kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung ke UPSI Sports Bowl yang beroperasi sepenuhnya sejak 16 September lepas.

Beliau berkata industri sukan yang dicetuskan melalui UPSI Sports Bowl berkenaan juga dilihat berpotensi mewujudkan pelbagai peluang sosioekonomi dari sudut pengurusan, penyelenggaraan dan penganjuran acara.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara berkenan menandatangani plak simbolik merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPSI Sports Bowl bertempat di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah

“Dilengkapi dengan 24 lorong bertaraf antarabangsa, UPSI Sports Bowl menjadi lokasi tumpuan aktiviti riadah keluarga, anak muda dan pengunjung setempat.

“Impak ini sedikit sebanyak telah meletakkan nama Muallim dan UPSI sebagai destinasi wajib dikunjungi. Dari sudut ekonomi ia mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan industri sukan di Perak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata UPSI turut berharap kemudahan berkenaan dapat digunakan sebaiknya dalam membentuk jaringan kepakaran sukan boling, mengetengahkan bakat-bakat muda serta penubuhan akademi boling bertaraf antarabangsa.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)