Tanjong Malim, 9 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) menganjurkan program “Khidmat Komuniti Dan Transformasi Ilmu” di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pemasangan lampu serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan mereka.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Guru Besar SKTM, Abu Yazid Jaafar, yang menyambut baik inisiatif ini dan menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan masyarakat.

Turut hadir dalam program ini adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SKTM, Jammiah Suraj dan Felo Penasihat Exco Kesukarelawanan Komuniti UKLK, Mohd Raizol Ramli.

Program ini merangkumi sesi perkongsian ilmu mengenai teori jenis lampu serta kaedah pemasangan lampu yang disampaikan oleh pihak FTV.

Pelajar diberikan peluang untuk terlibat secara langsung dalam sesi pemasangan dan penggantian lampu serta tingkap sekolah, yang bukan sahaja meningkatkan kemahiran praktikal mereka tetapi juga menyemai semangat kerjasama dan keprihatinan terhadap persekitaran.

“Harapan kami agar program seumpama ini dapat diperbanyakkan dan diperluaskan lagi. Ini bukan sahaja meningkatkan jalinan kerjasama UPSI dengan komuniti setempat, tetapi juga dapat dijadikan contoh kepada generasi akan datang dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” ujar beliau.

Dengan kejayaan program ini, UPSI menunjukkan komitmennya dalam memberikan impak positif kepada masyarakat melalui aktiviti-aktiviti khidmat komuniti yang bermanfaat.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)