Oleh: Prof. Madya Dr. Nor Azah Samat dan Dr. Norsida Hassan

Tanjong Malim, 10 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains dan Matematik (FSM) menganjurkan persidangan antarabangsa International Conference on Education, Mathematics and Science (ICEMS) in conjunction with the 12th International Postgraduate Conference on Science and Mathematics (IPCSM) 2024 pada 10 dan 11 Oktober 2024.

 
Poster dan tema International Conference on Education, Mathematics and Science (ICEMS) in conjunction with the 12th International Postgraduate Conference on Science and Mathematics (IPCSM) 2024

Persidangan yang dijalankan secara dalam talian ini merupakan salah satu program sempena Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics and Sustainability Fiesta (MIST) 2024 anjuran Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Menurut pengerusi persidangan ini, Prof. Madya Dr. Nor Azah Samat, persidangan yang dianjurkan dengan tema “From Theory to Practice: Empowering Data Science for Sustainable Development” ini adalah bertujuan sebagai platform kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar untuk berkongsi penemuan-penemuan baharu dalam bidang pendidikan, matematik dan sains.

Sebanyak lebih 50 kertas kerja telah dibentangkan oleh pembentang-pembentang dari dalam dan luar negara.

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapan perasmiannya berkata, selaras dengan perkembangan terkini dalam sains dan teknologi, menyepadukan sains data ke dalam bidang pendidikan, matematik dan sains adalah sangat penting.

Perasmian oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Bin Md Taff

Tumpuan harus diberikan untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan agar boleh mendorong ke arah mencapai matlamat pembangunan mampan.

Tambah beliau, sebagai sebuah universiti yang terkenal dengan komitmennya terhadap kecemerlangan pendidikan di Malaysia, UPSI sentiasa komited dalam usaha menyepadukan sains data ke dalam kurikulum dan penyelidikan untuk melengkapkan para pendidik dan pelajar bagi mengharungi cabaran yang lebih kompleks di masa hadapan.

Pengucaptama, Dato’ Seri Mohd Uzir bin Mahidin, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia

Ini selaras dengan penawaran program baharu peringkat Sarjana oleh Fakulti Sains dan Matematik, iaitu Sarjana Pendidikan (Sains Data) dalam mod penyelidikan.

Persidangan ini juga dilengkapkan dengan perkongsian topik berkaitan Sains Data dari dua pengucaptama iaitu Ketua Perangkawan dari Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dan pensyarah dari Universiti Colombia, United States, Profesor Dr. Upmanu Lall, juga tiga penceramah jemputan iaitu Profesor Madya Dr. Masitah Shahrill dari Universiti Brunei Darussalam, Dr. Faridah Nurhasanah dari Universiti Sebelas Maret, Indonesia, dan En. Afwan Syahmi Ahmad Nazari, dari Data Strategy Management, AmBank Group Malaysia.

Pembentangan penceramah Jemputan Dr. Faridah Nurhasanah dari Universiti Sebelas Maret, Indonesia
Pembentangan penceramah Jemputan En. Afwan Syahmi dari AmBank Group, Malaysia.

Perkongsian yang sangat menarik dan bermanfaat ini dapat mendedahkan semua peserta persidangan tentang kepentingan sains data dalam pendidikan, matematik, dan sains.