Oleh: Dr. Nurhaida Kamaruddin, Nurul Qamarina Nadhirah Nordin dan Auni Aqilah Harifin.
Tanjong Malim, 12 Oktober 2024 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dengan kerjasama Jawatankuasa Penasihatan Akademik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Fakulti Sains dan Matematik (FSM) menganjurkan Program Jejak Prestasi sempena “Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics & Sustainability Fiesta 2024 (MIST’24)”.

Program dilaksanakan oleh jawatankuasa pensyarah yang diketuai oleh Dr. Nurhaida Kamaruddin dengan kerjasama jawatankuasa pelajar yang diketuai oleh Nurul Qamarina Nadhirah Nordin dan Hakim Firdaus Zuna Adeni selaku pengarah program bersama bagi Program Jejak Prestasi.
Bertempat di Dewan Tuanku Canselor UPSI, perasmian Program Jejak Prestasi disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee bin Abdullah.
Program ini bertujuan menyediakan platform interaksi di antara pensyarah selaku penasihat akademik, mahasiswa dan ibu bapa mahasiswa.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah “Program yang menghimpunkan pensyarah bersama ibu bapa mahasiswa ini adalah julung kalinya dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Matematik.
“Program ini bukan sahaja yang pertama seumpamanya diadakan di UPSI, malah di institusi pengajian tinggi di Malaysia” ujar beliau lagi.
Disamping untuk merapatkan ukhuwah, program ini juga diharap dapat memupuk sinergi yang erat di antara pihak fakulti dan ibu bapa demi memastikan kemenjadian mahasiswa.
Seramai 1600 orang mahasiswa, 75 orang pensyarah Fakulti Sains dan Matematik dan 153 ibu bapa atau penjaga telah terlibat secara langsung bagi menjayakan Program Jejak Prestasi.
Terdapat empat sesi interaksi telah dilaksanakan dalam program ini iaitu perjumpaan penasihat akademik bersama mahasiswa (slot 1), perjumpaan penasihat akademik bersama ibu bapa mahasiswa (slot 2), perkongsian akademik oleh pensyarah fakulti yang berpengalaman (slot 3) dan perkongsian kaunseling oleh pegawai psikologi daripada Pusat Kaunseling UPSI (slot 4).


Melalui slot 2, seramai 153 ibu bapa telah berinteraksi dengan 34 orang pensyarah. Dr. Nurhaida Kamaruddin selaku ketua jawatankuasa program berkata “Oleh kerana mengambil kira lokaliti ibu bapa atau penjaga mahasiswa yang pelbagai di seluruh Malaysia, tiga kaedah interaksi telah disediakan bagi memberi peluang mereka berinteraksi bersama penasihat akademik anak-anak mereka iaitu sama ada secara bersemuka, secara atas talian melalui platform Google Meet atau melalui panggilan telefon”.



Perbincangan di antara penasihat akademik dan ibu bapa telah diadakan secara komprehensif memfokuskan kepada perkembangan akademik, penglibatan kokurikulum dan keaktifan mahasiswa.
Rata-rata ibu bapa yang hadir memberikan respon yang sangat positif serta menyambut baik usaha pihak fakulti yang memberi ruang kepada mereka untuk turut terlibat dalam usaha memastikan kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak mereka di UPSI. Ibu bapa juga berharap program interaksi ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang.
Pada sebelah petang, Program Jejak Prestasi diteruskan lagi dengan slot 3 iaitu perkongsian akademik yang disampaikan oleh pensyarah kanan Jabatan Kimia, Dr. Mohamad Mokhzani bin Ibrahim.


Selaku alumni ibu kandung suluh budiman yang lahir daripada Fakulti Sains dan Matematik, Dr. Mohamad Mokhzani bin Ibrahim banyak memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada mahasiswa.
Seterusnya, slot 4 diisi oleh pegawai psikologi daripada Pusat Kaunseling UPSI iaitu En. Ahmad Shazwi bin Ahmad Shukri yang membincangkan tentang cabaran kehidupan mahasiswa di kampus disamping beliau turut memberikan tips berkenaan pengurusan emosi.


Program Jejak Prestasi diakhiri dengan sesi soal jawab di mana mahasiswa tidak melepaskan peluang bertanyakan pelbagai soalan kepada kedua-dua penceramah.

“Program Jejak Prestasi diharapkan dapat memberikan impak positif yang dapat memacu kecemerlangan mahasiswa yang hadir, tambahan pula ia diadakan pada minggu pertama semester 1 sesi 2024/2025 yang baharu sahaja bermula” ujar Hakim Firdaus Zuna Adeni selaku pengarah program bersama bagi Program Jejak Prestasi.
