Oleh: Suzaliza Mustafar & Aisyah Mohamad Sharif

Tanjong Malim, 12 Oktober 2024 – Senada dengan aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjadi peneraju kebitaraan pendidikan, penganjuran program Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics And Sustainable Fiesta 2024 berjaya memupuk semangat inovasi, penyelidikan, dan adaptasi global dalam kalangan peserta sejajar dengan konsep BITARA yang telah diperkenalkan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

MIST 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI bermula dari 10 hingga 12 Oktober bertemakan “Explore, Engage, Empower,” program ini mencerminkan komitmen Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dalam memperkasakan bidang sains dan teknologi dengan cara melibatkan komuniti secara aktif dan mendidik generasi muda melalui pelbagai aktiviti interaktif serta meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar di segenap lapisan masyarakat. Program selama tiga hari ini dikelolakan oleh pengarah program, Zahid Mat Said dan pengarah bersama, Siti Radiah Nor Rahimmi menampilkan pelbagai aktiviti dan bengkel yang melibatkan penyertaan para pelajar, ahli akademik serta masyarakat setempat dan antarabangsa.

Pada hari pertama bertempat di Dewan Tuanku Canselor telah berlangsung program Siswa Connected: Minggu Inspirasi FSM yang dihadiri oleh Naib Canselor UPSI. Sementara itu, satu lagi  program iaitu Global STEM Youth Mind Quest turut dilangsung di Panggung Percubaan bagi menguji minda dan pengetahuan STEM para peserta yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) serta Program Bicara santai Di Sebalik Angka dan Kata anjuran Persatuan Mahasiswa Matematik (PMMU) telah menampilkan seorang novelis terkenal, Nia Azalea iaitu seorang pensyarah dari Jabatan Matematik, FSM.

Pada sebelah petang, Bicara Santai: Kemapanan Pendidikan Kreatif Demi Alam Lestari anjuran Rakan Alam Sekitar (RAS) telah diadakan secara atas talian dengan mengetengahkan ahli panel dari luar negara iaitu En. Mon Eric Lomeda, LPT, MAED dari Virgen Delas Flores High School, Baliwag Bulacan, Philippines serta ChM. Dr. Lee Saw Im manakala International Green Cart Art Forum anjuran PMS telah diadakan pada sebelah malam secara atas talian. Ahli panel terdiri daripada Hema iaitu seorang graduan undang-undang yang telah menyertai Greenpeace pada 2020 sebagai sebagai Public Engagement Campaigner, Jaclynnd Wong Yin Thing, pengasas bersama (Pemasaran dan Operasi) Zero Waste Earth Store dan Ranitya Nurlita dari Indonesia iaitu pengasas dan pengarah urusan Wastehub®️, CMO PT. Moderator bagi program ini June Cheah Hueih Juinn iaitu pelajar jurusan Diploma Teknologi Makmal (DTM)

Program Global STEM Youth Mind Quest, Bicara santai Di Sebalik Angka dan International Green Cart Art Forum

Hari kedua dimeriahkan dengan Eco Warriors Discovery Zone di mana peserta berpeluang untuk menyertai 3 bengkel yang berbeza iaitu Origami Workshop, Soap Workshop dan Bear Fluid Paint Art di samping sesi bual bicara bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Sesi motivasi bertajuk Stigma in Maths bersama Master Halim bertempat di Dewan Tuanku Canselor turut memberi inspirasi kepada para pelajar untuk melihat matematik dari sudut yang lebih positif. Program Komuniti@UPSI di perkarangan Dewan Tuanku Canselor berjaya menarik perhatian ramai dengan pelbagai aktiviti serta pameran seperti Kereta Neon, Petting Zoo, sukan rakyat, Science Magika dan banyak lagi. Pada sebelah malam, beberapa acara berlangsung dengan meriah iaitu A Night With Rastronomers anjuran Rakan Astronomi (RASTRO) dan Final E-sports MLBB (UEC).

Program Stigma in Maths, Eco Warriors Discovery Zone dan A Night With Rastronomers

Final E-sports MLBB

Acara pada hari terakhir bermula dengan perasmian MIST 2024 oleh ADUN Behrang, YB Salina Samsudin diikuti dengan lawatan ke pameran dari pelbagai agensi iaitu 8 buah syarikat yang merupakan rakan strategik FSM seperti Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Forest House Sdb. Bhd, 3 buah pusat di bawah FSM dan dari fakulti-fakulti seperti Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) dan banyak lagi bertempat di perkarangan Dewan Tuanku Canselor.

Pelbagai program menarik turut diadakan di Dewan Tuanku Canselor seperti Blood Donation Hours bersama Hospital Slim River anjuran PMS, Program Jejak Prestasi FSM yang melibatkan pelajar, ibubapa dan penasihat akademik anjuran PMMU. Program bersambung pada sebelah petang dengan Slot Perkongsian bersama Pusat Kaunseling dan CodEdu: Fundamental STEM Coding Challenge anjuran PMS bertempat di Panggung Percubaan.

Acara Neon Night Charity Run anjuran Persatuan Mahasiswa Sains dan Majlis Kanser Negara (PMSxMAKNA) berlangsung amat meriah pada sebelah malam dimana ia telah disertai lebih daripada seribu orang peserta. Majlis dimulai dengan ucapan aluan dari YBrs. Encik Mohd Rais Asraf Iskandar Putra, Pegawai Eksekutif Majlis Kanser Negara (MAKNA) dan dirasmikan oleh Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah.

Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics and Sustainable Fiesta 2024 (MIST 2024) telah berjaya mencapai matlamat utamanya untuk meneroka, melibatkan, dan memperkasa (Explore, Engage, Empower) generasi muda dalam bidang sains, teknologi, inovasi, dan matematik. Program ini bukan sahaja menyediakan platform untuk memupuk minat terhadap kelestarian alam sekitar dan inovasi tetapi juga menghubungkan pelajar, ahli akademik dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Dengan kejayaan penganjuran MIST 2024, FSM terus komited untuk memacu perubahan positif dalam pendidikan STEM yang mana sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan inovasi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)