Oleh: Mahkrus Agam Mohd Subhan
Tanjong Malim, 12 Oktober 2024 – Bersempena dengan Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics, and Sustainable Fiesta 2024 (MIST’24), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI dengan kerjasama Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP) menganjurkan Pertandingan MIST’24: Fundamental STEM Coding Challenge bertempat di Panggung Percubaan. Pertandingan yang disertai 24 kumpulan ini telah mengumpulkan lebih kurang 72 mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai fakulti terutamanya daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT).

Pelaksanaan program ini dimulakan dengan pengenalan kumpulan dan prasyarat pertandingan oleh seorang Quiz Master yang telah dilantik oleh urusetia pertandingan. 30 soalan aritmetik dan empat belas (14) soalan struktur telah diajukan kepada semua kumpulan dalam tempoh 1 jam 45 minit. Semua soalan ini adalah berunsurkan STEM dan telah disemak oleh tujuh orang panel pentaksir yang berkemahiran dalam bidang Biologi, Fizik, Kimia, Matematik dan Teknologi Maklumat bagi memastikan kesesuaian dan standard kualiti soalan-soalan yang telah dirangka oleh urusetia adalah yang terbaik.
Melalui program ini, peserta bukan sahaja diuji kemahiran pengaturcaraan mereka, bahkan mereka juga diuji untuk memahami kandungan dan senario dalam bidang STEM sekali gus mengaplikasikannya dalam bentuk pengaturcaraan C++ dan JAVA.

Program ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob, ChM. penasihat PMS, Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid, wakil penasihat PKP Asma Hanee Ariffin dan Yang Dipertua kedua-dua persatuan PMS dan PKP. Menurut Dr. Mohd Ikhwan Hadi, “program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana kedua-dua bidang STEM dan pengaturcaraan ini secara realitinya perlu bergerak seiring dan memerlukan satu sama lain”. “Program ini juga dapat memperkukuhkan hubungan antara FSM dengan fakulti lain dan rakan strategik luar dan secara tidak langsung menggalakkan penerapan budaya ilmu boleh pindah rentas kurikulum (transferable knowledge),” ujar beliau sekali gus merasmikan program ini.
Seiring dengan hasrat itu, Pengarah Program, Mahkrus Agam juga menzahirkan pandangan beliau bahawasanya, program seperti ini adalah amat penting untuk mempersiapkan diri para mahasiswa dalam memenuhi keperluan negara dalam mendepani Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0). STEM dan pengaturcaraan dilihat penting dalam menyahut seruan IR 5.0 yang banyak berkisarkan tentang kolaborasi dan interaksi antara manusia dan mesin, penyelesaian masalah kompleks, kecerdasan buatan (AI), data besar (Big Data) dan konsep internet kebendaan (Internet of Things, IoT).
Sebelum tirai program dilabuhkan, majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Ikhwan Hadi dan ChM. Dr. Siti Nur Akmar beserta dif-dif jemputan. Tujuhkumpulan telah diberikan hadiah saguhati manakala tiga pemenang diumumkan dengan pasukan Byte Beakers di tempat ketiga dan Kejora di tempat kedua. Johan pertandingan ini telah dirangkul dengan bergaya oleh pasukan Power Puff Girls.
Secara rangkumannya, penganjuran MIST’24: Fundamental STEM Coding Challenge bukan sahaja berjaya menguji kemahiran pengaturcaraan pelajar UPSI, malah memperkukuh minat mereka terhadap bidang STEM. Dengan sokongan pelbagai pihak terutamanya pihak universiti dan FSM, serta kerjasama padu daripada semua yang terlibat, program ini diharapkan dapat menjadi wadah penyemaian bakat mahasiswa dalam menerajui bidang sains dan teknologi sekali gus menyahut seruan IR 5.0 pada masa kini.