Oleh: Irfan Aiman
Tanjong Malim – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kemasukan seramai 1845 orang pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda ambilan September 2024/2025 pada 28 September lalu.
Mereka yang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, UPSI ini telah disambut meriah dan merupakan detik bersejarah yang dinanti-nantikan oleh pelajar yang kini bangga bergelar Anak Kandung Suluh Budiman.

Pendaftaran pelajar ambilan September itu membabitkan 1239 orang pelajar perempuan dan 606 orang pelajar lelaki yang akan memulakan sesi kuliah mereka pada 7 Oktober.
Ibu bapa pelajar turut meluahkan rasa syukur yang mendalam saat melihat anak-anak mereka melangkah ke UPSI, yang kini menjadi rumah baharu bagi mereka. Saat bersejarah ini bukan sahaja mencerminkan harapan, tetapi juga sebuah perjalanan penuh kasih dan doa yang telah membentuk masa depan anak-anak mereka.


Sepanjang sesi pendaftaran berlangsung, sukarelawan-sukarelawan yang terdiri daripada Majlis Mahasiswa Kolej, Ahli Jawatankuasa Blok Kolej Kediaman, dan Rakan Exco Ekonomi dan Keusahawanan sesi 2024/2025, bersama-sama Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, telah bersatu hati menyambut kedatangan penghuni baharu dengan semangat yang luar biasa dengan memastikan setiap pelajar merasa diterima dan dihargai dalam keluarga baharu mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin turut bersama hadir menyambut pelajar baharu dengan penuh kasih untuk menyantuni pelajar dan ibu bapa semasa proses kemasukan penghuni baharu ke Kolej Harun Aminurrashid, UPSI. Kehadirannya memberikan sokongan dan semangat pada hari yang penuh bermakna.
“Saya amat berbesar hati atas semua sumbangan yang telah diberikan untuk memastikan pendaftaran pelajar baharu berjalan dengan lancar. Kita akan terus berkomitmen untuk merangka program-program yang dapat membangunkan sahsiah dan kemenjadian pelajar. Saya berharap pelajar baharu ini akan mengukir kejayaan sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang aktif, berbakat, dan berdaya saing.” kata Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah.
Katanya, Kolej Harun Aminurrashid telah mengambil pelbagai langkah persediaan untuk menyambut pelajar baharu. Dari penambahan kawasan dobi khusus untuk pelajar lelaki dan perempuan sehingga penaiktarafan kawasan kafe yang lebih kondusif. Semua usaha ini bertujuan untuk menciptakan suasana yang mesra dan selesa bagi setiap pelajar.

Dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua pihak, kemasukan pelajar baharu ini menandakan permulaan perjalanan yang penuh bermakna. Pihak kolej yakin bahawa setiap pelajar akan memanfaatkan pengalaman ini untuk berkembang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam pembangunan sahsiah.