Oleh: Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah dan Miftahul Anam Ahmad Yani

TANJONG MALIM, 12 Oktober 2024 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menganjurkan Program Jelajah STEM Sekolah Bitara – MIST’24 yang berjaya menghimpunkan seramai 200 orang murid dari lima buah sekolah Bitara UPSI bagi mengikuti pelbagai aktiviti berkumpulan yang berasaskan STEM.

Hubungan erat antara Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dengan Sekolah Bitara terus diperkukuh melalui program ini sempena Muallim International Science, Technology, Innovation, Mathematics & Sustainability Fiesta 2024 (MIST’24).

Taklimat ringkas oleh Pengarah Program                 
Agihan kumpulan menggunakan simbol-simbol Yunani

Program yang berlangsung pada Sabtu, 12 Oktober 2024 bermula dengan ketibaan murid-murid dan guru-guru dari lima buah sekolah Bitara; iaitu MRSM Felda Trolak, SMK Seri Perak, SMK Kalumpang, SMK Proton City dan SK Datuk Kelana.

Setiap murid telah dibahagikan kepada 20 kumpulan mengikut huruf-huruf yunani ketika sesi pendaftaran bagi memberi pendedahan kepada murid-murid tentang simbol-simbol ini.

Taklimat ringkas dan sesi mencipta sorakan kumpulan telah dilakukan semasa sesi ice-breaking bagi mencetuskan semangat kerjasama antara mereka.

Sesi ice-breaking dan perbincangan sorakan kumpulan

Seterusnya, murid-murid disajikan dengan 10 aktiviti yang menarik dan interaktif di dalam Slot ’Explorace STEM’ yang terdiri daripada aktiviti ’team building’ berasaskan STEM iaitu ‘Stacking Cup’, ‘Catch the Water Balloon’, ‘Stable Cup’, Sains Rosak, ’Scan it! Find it!’, ’Paper Tower’ dan Cryptarithm.

Aktiviti-aktiviti ini direka bagi memberi pendedahan serta minat terhadap konsep STEM di samping memupuk sikap kerjasama dalam kumpulan, ketangkasan fizikal, memupuk kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan murid.

Stesen Cryptarithm memperkasa kemahiran Matematik murid
Aktiviti mengetengahkan konsep kestabilan cawan yang berisi air
Konsep keseimbangan daya dalam memindahkan cawan menggunakan getah dan tali

Program Jelajah STEM Sekolah Bitara – MIST’24 juga memberi peluang kepada murid-murid untuk melawat pameran dan karnival yang diadakan sempena MIST’24 sekali gus meneroka fasiliti, infrastruktur dan landskap Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dengan begitu, murid-murid dapat merasai sendiri suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi serta menginspirasikan mereka terhadap STEM.

Bersama menjayakan program ini adalah penyelaras-penyelaras sekolah bitara UPSI iaitu Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan, Dr. Aisyah Mohamad Syarif, Dr. Mohamad Idris Saidin, Dr. Nurihan Nasir dan Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah.

Barisan Fasilitator Program Jelajah STEM Sekolah Bitara – MIST’24

Pengarah Program, Miftahul Anam Ahmad Yani dan seluruh barisan ahli jawatankuasa, menyatakan harapan agar program ini dapat memberi inspirasi kepada murid-murid untuk terus berinovasi dan mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Mereka juga menyatakan harapan agar jaringan FSM-Sekolah Bitara terus diperkuat pada masa yang akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)