Oleh: Dr. Nur Munira Azman dan Mohd Nasir Azizan

KEPALA BATAS, 10 Oktober 2024 – Seramai 40 peserta daripada pelbagai pemegang taruh antaranya kumpulan agensi kerajaan, akademia, pertubuhan bukan kerajaan, dan komuniti nelayan telah hadir menjayakan sebuah bengkel yang bertajuk “Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Bagi Tinjauan dan Hala Tuju Pelan Pengurusan Tanah Lembap, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang”. 

Bengkel ini yang diadakan pada 10 Oktober 2024 di Bertam Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang ini merupakan anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai, bersama rakan kolaborasi utama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Shorebirds Peninsular Malaysia Project, dan Perhutanan Negeri Pulau Pinang.

UPSI telah diwakili oleh Dr. Nur Munira Azman dari Jabatan Biologi, Fakulti Sains Matematik, UPSI yang juga merupakan koordinator bengkel menyatakan, objektif bengkel adalah untuk mengumpulkan semua pemegang taruh berkongsi pengalaman dan pengetahuan bagi menyediakan tinjauan hala tuju pelan pengurusan tanah lembap Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Selain itu, bengkel ini juga memberikan informasi penting kepada pemegang taruh melalui perkongsian pakar antaranya perbentangan tentang contoh pengurusan tanah lembap di Mai Po Nature Reserve oleh Fion Cheung (WWF-Hong Kong- secara atas talian) dan pelaporan cadangan pemeliharaan ekosistem tanah lembap Teluk Air Tawar-Kuala Muda oleh John Howes (pakar ekologi).

Malah satu dokumentasi awal maklum balas antara pemegang taruh akan diwujudkan bagi perancangan pelan pengurusan tanah lembab Teluk Air Tawar-Kuala Muda (Penaga).

Dr. Nur Munira berkata “Teluk Air Tawar-Kuala Muda yang terletak di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang merupakan tempat terdapatnya ekosistem paya bakau dan dataran lumpur yang terbesar di Pulau Pinang yang masih terjaga dan masih kurang dicerobohi dengan pembangunan.

Ekosistem paya bakau berperanan sebagai penampan ombak, sumber hasil laut, tempat pembiakan organisma marin, menyerap karbon dioksida dan pelbagai lagi.

Luasnya sekitar lebih 600 hektar telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan berkepentingan burung dan biodiversiti di Malaysia. Ia merupakan tempat persinggahan utama burung-burung pantai hijrah yang bermigrasi setiap tahun dari Alaska ke New Zealand.

Tempatnya yang strategik di Pulau Mutiara ini menjadikan ia mudah dikunjungi dan menjadi tumpuan para pemerhati burung dari dalam dan luar negara”. Walaubagaimana pun ekosistem tanah lembap ini belum mempunyai pelan pengurusan yang mampan dan ia amat penting bagi persediaan untuk tapak ini dinominasikan sebagai tapak Ramsar dan Flyway Site

Sebelum bengkel ini berlangsung, pakar ekologi, John Howes telah menjalankan tinjauan selama 5 hari untuk memberikan maklumat bilangan spesis burung pantai hijrah yang berada di Teluk Air Tawar-Kuala Muda. Beliau mendapati terdapat 25 spesies burung pantai hijrah (8056 individu) dan 7 spesies camar (3196 individu) yang terdapat di ekosistem ini.

Burung-burung pantai hijrah ini kebanyakannya adalah spesies yang terancam di peringkat global, antara nya adalah seperti Kedidi Paruh Tegak, Kedidi Dian Besar dan Kendi Besar.

Dapatan beliau telah dikongsikan kepada para peserta semasa bengkel berlangsung. Beliau juga memberikan beberapa cadangan bagaimana untuk menjadikan ekosistem ini kekal sebagai tarikan kepada burung pantai hijrah dan sekali gus memberikan input positif kepada pelan pengurusan tanah lembap yang ingin dirancang kelak.

Selepas sesi perkongsian pakar, terdapat tugasan bengkel yang dilakukan oleh para peserta iaitu analisa pemegang taruh di Seberang Perai Utara. Analisa ini penting bagi mengenal pasti siapakah pemegang taruh utama, status dan keperluan mereka daripada peringkat awal.

Ia juga bertujuan untuk mempunyai pemahaman yang jelas tentang fungsi, kepentingan, dan impak konservasi kepada setiap pemegang taruh, serta perkara yang mereka harapkan dalam pelan pengurusan tanah lembap kelak.

Ini kerana keperluan dan jangkaan pemegang taruh mungkin berbeza atau sama. Setiap kumpulan pegang taruh diberikan tugasan selama 10 minit untuk memberikan maklumat dan bertanyakan soalan.

Rumusan daripada bengkel ini mendapati, setiap pemegang taruh mempunyai harapan yang sama iaitu ingin melihat ekosistem tanah lembap Teluk Air Tawar-Kuala Muda ini mempunyai satu pelan pengurusan yang mampan untuk dilaksanakan.

Ia penting bagi menjaga fungsi ekosistem serta dapat dirasai faedahnya kepada semua.  Pemegang taruh juga mengenalpdir asti cabaran yang bakal dihadapi jika pelan pengurusan ini dilaksanakan dan memberi solusi kepada perkara tersebut.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Seberang Perai, Dato’ Haji Baderul Amin Abdul Hamid. Menurut beliau, Seberang Perai Utara mempunyai khazanah alam yang tidak ternilai seperti Hutan Simpan Paya Laut Teluk Air Tawar – Kuala Muda dan juga warisan sejarah iaitu tapak arkeologi Guar Kepah.

Kedua-dua tempat ini amat berpotensi sebagai tapak pelancongan pendidikan dan penting diuruskan supaya pembangunan yang mampan dapat dilaksanakan tanpa mengubah fungsi ekosistem dan warisan yang sedia ada di Pulau Mutiara ini.

Antara yang hadir ke sesi libat urus ini ialah Puan Normaira Abdul Rahman (Pengarah Pembangunan Lestari, MBSP), YM Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim (Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang), Dr. Foong Swee Yeok (Pensyarah USM), Dr. Aini Hasanah Abdul Mutalib (IBTPL, UMT), Dr Nurul Salmi Abdul Latip (SPMP), Nasir Azizan (SPMP), Tan Choo Eng (MNS), Kishore Ramdas (Think City) dan Muhd Ali Hamzah Md Sod (Ketua Unit Nelayan Sungai Tembus).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)