Oleh : Lyana Rahim

Mualim, 16 Oktober 2024 – Suasana ceria menyelubungi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila Majlis Anak Johor (M@JOR) menerima kunjungan yang penuh semangat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kluang pada 16 Oktober 2024. Kunjungan ini adalah sebahagian daripada program lawatan sambil belajar, di mana UPSI dipilih sebagai destinasi pilihan untuk meneroka dunia pendidikan tinggi. Seramai 40 orang murid dan beberapa orang guru pengiring turut serta dalam pengalaman berharga ini.

Sepanjang lawatan, ahli M@JOR memainkan peranan penting sebagai penunjuk arah , membimbing para murid melalui pelbagai lokasi menarik di kampus. Lawatan dimulakan di Perpustakaan Digital UPSI, di mana para pelajar terpesona dengan pelbagai sumber pembelajaran yang inovatif dan moden. Mereka diberi peluang untuk menjelajahi dunia ilmu dengan teknologi terkini yang memudahkan pencarian maklumat.

Seterusnya, mereka mengunjungi Muzium Pendidikan Nasional UPSI, di mana para murid dan guru disajikan dengan koleksi menarik yang menggambarkan sejarah pendidikan di Malaysia. Dalam suasana yang penuh keinsafan, Cikgu Rahimin, guru pengiring yang merupakan alumni M@JOR, berkongsi kisah inspirasi tentang UPSI sebagai tempat lahirnya ramai pendidik terkemuka bangsa yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia pendidikan.

Acara kemuncak lawatan ini adalah di Perpustakaan Tunku Bainun, pusat rujukan terkemuka yang menyimpan khazanah pengetahuan. Di sini, para murid tidak hanya melihat koleksi buku dan bahan ilmiah, tetapi juga merasai betapa pentingnya perpustakaan sebagai nadi ilmu dalam pendidikan.

Dengan matlamat memberi pendedahan tentang suasana universiti, lawatan ini diharapkan mampu membakar semangat para murid untuk melangkah lebih jauh dalam pencarian ilmu. Pengalaman berharga ini diharapkan dapat memotivasi murid SMK Tinggi Kluang untuk mencapai cita-cita mereka dan meneruskan perjalanan pendidikan hingga ke menara gading. Lawatan berakhir pada jam 5 petang, meninggalkan kenangan manis yang akan terpahat di hati setiap peserta sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.