Oleh: Marfuatul Nafisa
23 Oktober 2024- Penghantaran borang bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) sidang 2024/2025 yang berlangsung meriah di Bilik Seminar Rafflesia, Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Acara ini dihadiri oleh 42 calon masing-masing hadir dengan sokongan daripada pencadang, penyokong dan wakil calon.
Pihak Campus Election Organization (CEO) memainkan peranan penting dalam menyemak setiap borang pencalonan, memastikan semua maklumat yang diberikan adalah tepat dan lengkap. Calon juga perlu mendapatkan tandatangan daripada Timbalan Dekan Fakulti mereka sebagai pengesahan.
Proses ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi syarat pencalonan tetapi juga memberikan kesempatan kepada calon untuk bersiap sedia menghadapi kempen yang akan datang. Suasana di Bilik Seminar Rafflesia meriah dengan kehadiran para penyokong yang memberikan sokongan padu kepada calon-calon mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa proses pemilihan ini amat dinanti-nantikan oleh mahasiswa UPSI yang melihatnya sebagai peluang untuk memilih pemimpin yang mampu mewakili suara mereka.
Acara tersebut diakhiri dengan sesi fotografi rasmi di studio, menandakan satu momen penting dalam perjalanan setiap calon. Dengan berakhirnya sesi ini, calon-calon kini bersedia untuk memulakan kempen mereka yang dijadualkan berlangsung dari 27 Oktober hingga 1 November 2024. Hari Penghantaran Borang ini bukan sahaja menjadi langkah formal dalam proses pemilihan tetapi juga mencerminkan komitmen UPSI dalam menggalakkan amalan demokrasi dalam kalangan mahasiswa. Pihak CEO telah menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam memastikan kelancaran acara ini seterusnya membina suasana yang kondusif bagi calon dalam menghadapi pemilihan akan datang.