Oleh: Marfuatul Nafisa
Tanjong Malim, 23 Oktober 2024- UPSI menyaksikan Hari Penamaan Calon bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) sidang 2024/2025 yang diadakan dengan penuh meriah di Atrium, Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah. Majlis yang berlangsung pada jam 5.30 petang ini dihadiri oleh calon-calon bersama penyokong, tetamu jemputan dan pihak Campus Election Organization (CEO). Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Puan Maskana Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Norkhalid menyatakan harapan agar calon-calon yang dipilih kelak mampu memikul amanah dengan penuh tanggungjawab, mengikut kerusi yang ditandingi. Beliau turut menyeru agar semua calon memanfaatkan tempoh berkempen yang akan datang untuk menyuarakan pandangan dan cadangan yang konstruktif, sambil menunjukkan kredibiliti dan daya intelek yang tinggi. Ucapan beliau menggariskan pentingnya kempen dijalankan secara sihat dan demokrasi yang seimbang di kampus sebagai satu budaya kepimpinan yang harus disuburkan.
Prof. Dr. Norkhalid turut menitipkan pesanan kepada calon-calon agar bertanding dengan jujur tanpa mengeluarkan spekulasi atau dakwaan negatif terhadap lawan masing-masing. Beliau juga menegaskan peri pentingnya setiap calon untuk melaksanakan janji manifesto mereka dengan penuh amanah dan tidak memecah belahkan keharmonian antara pelajar UPSI. “Menjadi MPP bukanlah sebuah platform untuk mencari populariti tetapi tanggungjawab yang memerlukan integriti dan kesungguhan untuk memperjuangkan hak mahasiswa,” tambahnya.
Majlis penamaan ini menjadi detik awal bagi calon-calon untuk memperkenalkan diri serta berkongsi misi mereka dalam memperjuangkan suara mahasiswa UPSI. Suasana di Atrium dipenuhi dengan keazaman dan keyakinan calon-calon yang memandang acara ini sebagai langkah penting dalam perjalanan kepimpinan mereka. Selain itu, kehadiran penyokong calon turut menyemarakkan lagi perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa.
Dengan kempen yang dijadualkan bermula pada 27 Oktober hingga 1 November 2024, Hari Penamaan Calon ini menandakan titik permulaan bagi calon untuk mempersiapkan diri dan menyusun strategi berkempen. Pelaksanaan acara yang tersusun rapi ini menunjukkan komitmen UPSI dalam memperkukuh budaya demokrasi di kampus, sekaligus mencerminkan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin berkualiti dalam kalangan mahasiswa yang berintegriti dan berdaya saing tinggi.