Oleh: Marfuatul Nafisa
TANJUNG MALIM, 9 OKTOBER 2024 – Majlis Watikah Pelantikan Campus Election Organization (CEO) sidang 2024/2025 telah diadakan dengan penuh istiadat di Dewan Banquet, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Acara ini dihadiri oleh 100 orang, terdiri daripada ahli dan sukarelawan CEO.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang memberi ucapannya sebagai simbolik rasmi kepada majlis tersebut. Kehadiran Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Puan Maskana Ahmad dan Timbalan-timbalan Dekan Fakulti turut memeriahkan suasana majlis ini.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Norkhalid menegaskan betapa pentingnya peranan CEO dalam memastikan perjalanan demokrasi kampus berjalan dengan lancar dan adil. Beliau turut berkongsi visi universiti untuk membentuk generasi pemimpin masa depan melalui peranan yang dimainkan oleh CEO.
“Memastikan calon-calon dapat berbakti kepada universiti bukan sahaja sebagai pelajar, tetapi sebagai agen perubahan masyarakat, di mana peranan guru menjadi kunci untuk membentuk generasi yang mampu mengubah landskap sosial. Universiti juga berhasrat melahirkan ramai pemikir hebat seperti Pendeta Za’ba, yang dapat memberikan sumbangan intelektual yang mendalam kepada bangsa dan negara,” ujar beliau, menyampaikan harapan universiti untuk masa depan pelajarnya.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan Penyerahan Pelantikan Penasihat CEO, diikuti dengan upacara penyerahan watikah pelantikan kepada ahli baru CEO. Sesi serah tugas diadakan, di mana Nurul Nadia Norizham, mantan CEO sidang 2023/2024, menyerahkan tanggungjawab kepada Ar-RahmanNorani, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya CEO sidang 2024/2025. Ar-Rahman turut mengetuai bacaan ikrar oleh barisan CEO yang baru dilantik, menandakan komitmen mereka untuk menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Majlis ini menandakan permulaan era baru bagi CEO sidang 2024/2025 dengan harapan bahawa barisan kepimpinan baru ini akan terus membawa nilai-nilai keadilan, amanah, dan kepimpinan yang berkekalan dalam organisasi mereka.
Dengan berakhirnya majlis, CEO yang baru dilantik diharapkan dapat menerajui UPSI ke arah pencapaian yang lebih cemerlang dan berterusan.