Oleh: Muhammad ‘atikullah Mat Nasir

Tanjung Malim, 24 Oktober 2024– Program Iftar Al-Mursyidin 1.0 anjuran Lajnah Tarbiyyah dan Imarah Masjid Kelab Al-Mursyidin (AMC) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Sasaran utama program ini adalah mahasiswa dan mahasiswi UPSI, dan ia diharapkan dapat menjadi satu platform untuk mereka lebih terlibat dalam aktiviti keagamaan serta menyemarakkan lagi suasana keagamaan di kampus.

Program ini turut dihadiri oleh dua orang tetamu jemputan, iaitu Ustaz Muhammad Tarmizi bin Abd Rahman, Pengarah Pusat Islam UPSI, dan Ustaz Mohd Ali bin Abd Malek, Penasihat Kelab Al-Mursyidin UPSI.

Kehadiran mereka telah menyerikan lagi program ini, yang diadakan bagi mencapai beberapa objektif penting, antaranya adalah untuk menggalakkan amalan puasa sunat, khususnya pada hari Isnin dan Khamis, serta mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga UPSI.

Puasa sunat merupakan amalan yang sangat digalakkan oleh agama Islam kerana ia merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW, dan mereka yang mengamalkannya dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Selain itu, amalan ini juga merupakan tanda kesyukuran seorang hamba kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan. Program ini juga bertujuan untuk mengajak warga universiti melakukan kebaikan bersama-sama dalam usaha mencari pahala yang berterusan, sambil meningkatkan pengimarahan Masjid Al-Mursyidin melalui majlis iftar beramai-ramai dan solat berjemaah.

Program Iftar Al-Mursyidin 1.0 turut memberi impak positif kepada mahasiswa-mahasiswi UPSI dalam usaha memperkukuh hubungan ukhuwwah di kalangan sesama muslim.

Penyertaan daripada warga universiti amat menggalakkan, dengan kehadiran ramai mahasiswa dan mahasiswi UPSI yang turut serta dalam menjayakan program ini.

Program yang dilaksanakan secara bulanan ini diharapkan akan terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga universiti kerana ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi amalan berpuasa, tetapi juga mempererat hubungan komuniti di universiti.