Oleh: NUR ATIRAH HASSAN

Tanjung Malim, 21 Oktober 2024 – Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan kejayaannya dengan Program Talk Akademik: Inspirasi Mahasiswa Akademik & Akhlak Cemerlang (IMAAC) anjuran Kelab Al-Mursyidin, dengan kerjasama Pusat Islam, Persatuan Tahfiz & Qiraat, Rakan Siswa Yadim, Persatuan Pendidikan Islam, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrrashid, Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki dan Perwakilan Pelatih Mutawwif.

Program ini bertujuan memupuk kesedaran tentang pentingnya keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan penghayatan akhlak dalam kalangan mahasiswa. Ia disambut meriah dengan kehadiran lebih daripada 200 peserta yang begitu bersemangat.

Kehadiran tetamu kehormat, Al – Fadhil Ustaz Muhammad Tarmizi Bin Mohd Amran, Pegawai Pengesah Dalaman (PPD) dari Kolej Antarabangsa Pembangunan Profesional Mutawwif dan Al – fadhil Ustaz Mohd Ali Bin Abd Malek, Penasihat Kelab Al-Mursyidin turut menambah kemeriahan suasana pada malam tersebut.

Program dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis dan diteruskan dengan perkongsian dari Saudari Nurhaziqah Binti Hishamudin, Master Dakwah dan Kepimpinan, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perkongsian beliau merangkumi pengalaman dan inspirasi yang memotivasi peserta yang hadir pada malam tersebut.

Beliau menggariskan bahawa kejayaan akademik yang sebenar tidak hanya bergantung kepada pencapaian ilmu, tetapi juga harus disertai dengan akhlak yang mulia.

Selain itu, setiap individu perlu berusaha untuk menjadi seseorang yang memberikan manfaat kepada orang lain.

Kelab Al-Mursyidin ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya barisan ahli jawatankuasa serta mahasiswa yang turut serta dalam menjayakan program kemuncak ini.

Kejayaan Islamic Festival ini bukan sahaja menunjukkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat, tetapi juga memberi impak positif kepada penghayatan agama.

Kami berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada semua untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik dan kehidupan sehari-hari. Semoga usaha kita semua diberkati dan membawa kebaikan kepada ummah.