Oleh: Bazli Razak
Kajang, 5 November 2024 – Program UPSI Kolokium Thalatha Tis’a menjadi satu inisiatif yang bukan sahaja menekankan aspek hafazan Al-Quran, tetapi meliputi pembentukan sahsiah, emosi dan intelektual anak-anak seawal usia 3 hingga 9 tahun.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, ia merupakan satu pendekatan pendidikan yang menekankan nilai-nilai karamah insaniah agar anak-anak membesar dengan jati diri yang kukuh, berjiwa besar dan berdaya saing dalam dunia moden yang serba mencabar ini.
“Program ini menekankan pembelajaran holistik, di mana pendidikan hafazan tidak dipisahkan dari ilmu-ilmu lain yang diperlukan untuk melengkapkan diri mereka menghadapi dunia pada masa kini.
“Melalui pendekatan ini, kita berusaha melahirkan insan seimbang yang bukan sahaja mahir dalam hafazan Al-Quran, tetapi juga berakhlak mulia, berdaya fikir kritis serta mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.
Jelas beliau, pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk peribadi dan intelektual anak-anak kerana pada waktu itu merupakan tempoh kritikal minda mereka untuk menerima segala ilmu yang bermanfaat.
Tambah beliau, melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) menunjukkan bahawa UPSI sentiasa komited untuk menyokong dan memperkukuhkan pendidikan awak kanak-kanak di Malaysia.
“Melalui pelbagai program dan penyelidikan yang dijalankan, NCDRC telah memberi impak yang besar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Beliau juga turut menzahirkan rasa bangga dengan Pusal Ulul Albab UPSI (PUA) yang merupakan satu-satunya pusat seumpanya di institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.
“Melalui PUA, UPSI telah memperkenalkan konsep Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik dalam pendidikan awal kanak-kanak, satu pendekatan yang mengintegrasikan nilai-nilai Al-Quran dengan ilmu pengetahuan kontemporari.
“Konsep ini menunjukkan potensi besar dalam membentuk generasi Ulul Albab yang mempunyai wawasan global dan pemikiran kritis, namun tetap berpaksikan nilai-nilai murni Islam.
“Kolaborasi strategik antara UPSI dan institusi pendidikan lain juga diharap dapat menyumbang secara signifikan dalam meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia melalui pendekatan holistic dan integratif,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Kolokium ini merupakan usaha kolaboratif antara Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak (National Child Development Research Centre, NCDRC UPSI dan UNITEN.