Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 7 November 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) masih meneruskan legasi pemerkasaan penerbitan sastera dan penulisan kreatif sebagai gedung perbukuan sempena penganjuran Pesta Buku UPSI edisi ke-19 pada tahun ini.
Timbalan Pengarah Kanan, Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Hajah Norhayati Haji Ab Wahab berkata UPSI menyambung legasi itu kerana roh penerbitan sastera dan penulisan kreatif sudah sebati di Tanjong Malim ini lebih 100 tahun lamanya.
“Dari era SITC ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ke Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) hinggalah ke UPSI, kegiatan sastera menyokong industri kreatif di negara ini.
“Tidak hairanlah juga, UPSI menamakan Penerbit Universiti sebagai nama yang cukup klasik dan sangat bermakna iaitu Pejabat Karang Mengarang.
Jelasnya, dengan menyedari roh sastera boleh menyokong industri kreatif tanah air selain membentuk jati diri dan anak bangsa, pemerkasaan semula subjek Kesusteraan Melayu Komunikatif di sekolah sangat perlu supaya seimbang dengan STEM dan TVET.
“Subjek ini sangat dekat dengan masyarakat dan mampu mengubah sebuah peradaban selain memupuk nilai dan membina akhlak yang baik dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata demikian sempena merasmikan Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-19 dan Peluncuran Buku Biografi Pelopor Pembaharuan Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
“Buku biografi ini menempa sejarah agung apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2023 dalam kategori Pengajian Tinggi: Biografi Terbaik di Majlis Anugerah Buku Negara 2023 bertempat di WTC, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023.
“Lebih menarik, semalam iaitu 6 November 2024, buku ini menempa kejayaan lagi apabila menerima Anugerah Penerbitan Buku sempena Anugerah Akademia Bitara 2023.
Menurutnya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju agar buku ini dibeli dan menjadi bacaan para warga KPM perlu dimiliki oleh setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
“Inisiatif ini merupakan satu permulaan bagi kerjasama antara KPM dengan UPSI dalam usaha mengetengahkan biografi mantan kepimpinan pendidikan yang pernah mencorakkan pendidikan negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Professor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata UPSI sentiasa bersedia untuk menjalin kerjasama bersama KPM dalam memartabatkan lagi sistem pendidikan di Malaysia.
“UPSI dan KPM umpama satu keluarga besar yang mempunyai pertalian dan hubungan rapat dapat melahirkan graduan negara bagi mendidik anak bangsa di sekolah.
Menurutnya, UPSI kini menerajui usaha dalam meningkatkan pembelajaran di sekolah menerusi program sokongan pemulihan pembelajaran (PSP), ‘Home Smart Schooling’ dan ‘Revolusi Intervensi Murid Bacaan Asas dan Mengira’.
Tambah beliau, UPSI juga menerajui kualiti pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Swasta yang diberi nama ‘Sekolah Rendah Seri Budiman’ yang merupakan sekolah swasta pertama di Daerah Muallim dan ke-30 di negeri Perak.
Dalam pada itu, Professor Datuk Dr. Md Amin berkata penganjuran Pesta Buku di Universiti ini diadakan saban tahun sebagai acara tetap bukan sahaja kepada warga UPSI malah kepada masyarakat setempat di daerah Muallim.
Pesta Buku UPSI ke-19 yang dianjurkan oleh Penerbit UPSI dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI bertempat di Dewan SITC, UPSI bermula 6 hingga 9 November ini menghimpunkan 26 pempamer dan terdapat pelbagai gerai jualan dan foodtruck.
Turut hadir menyaksikan perasmian majlis ini Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Ketua Pustakawan, Cik Noriha Muhammad; Pengarah Pejabat Karang Mengarang UPSI, Prof Madya Dr. Nordiana Hamzah